KUALA LUMPUR – PAS mengajak semua kumpulan Islam untuk menyelamatkan negara dalam sebuah pakatan baharu, Perikatan Nasional (PN) bersama-sama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang berteraskan Islam memimpin dan berintegriti.
Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, perkara itu juga memerlukan kerjasama golongan bukan Islam yang tidak ekstrem bagi menyelamatkan negara, tanpa menghabiskan masa.
Menurutnya, parti tersebut menolak muafakat yang berpecah dan menyeleweng daripada matlamat Muafakat Nasional yang asal.
“Matlamat untuk masuk ke medan perjuangan bagi membela umat dalam satu negara dengan melibatkan semua golongan atas asas Perlembagaan yang merdeka dan berdaulat.
“PAS menolak politik yang menghabiskan masa dengan bermain politik sampingan dan jalanan yang menyusahkan rakyat, tanpa melihat kepada musim bencana alam dan wabak yang masih menular hari ini,”katanya yang dipetik melalui Facebook rasminya pada Jumaat.
Abdul Hadi berkata, PAS juga menolak muafakat tanpa bersatu dan menolak kumpulan yang menunjukkan tiada kesetiaan kepada negara dengan sifat melampau yang mencabar agama dan bangsa.
“PAS menolak agenda yang bertujuan semata-mata untuk menyelamatkan peribadi pemimpin dan kumpulannya, bukan untuk menyelamatkan negara dan semua rakyat.
“Marilah bersama tawaran baharu ini iaitu berintegriti dan berkebajkan yang berpijak atas Perlembagaan Persekutuan yang meraikan masyarakat majmuk beragama dan berbangsa.
“Marilah sama-sama menolak ekstremisme dan liberalisme yang merungkaikan ikatan agama dan bangsa,” katanya.