Melalui satu program kerjasama kursus latihan kemahiran dan teknikal, Institut Kemahiran MARA (IKM) Sik membuka ruang kepada pelajar keluaran pusat tahfiz untuk menceburi bidang TVET dan meluaskan latihan kemahiran mengikut keperluan industri semasa.
Bertujuan melahirkan generasi huffaz yang bukan sahaja mampu menghafaz Al-Quran malah turut mempunyai kemahiran menerusi latihan intensif yang boleh dimanfaatkan selepas tamat pengajian, IKM Sik memberi peluang kepada 10 pelajar Ma’ahad Al Tarbiah Al Islamiah Al Wataniah (Pondok Begia), Sik Kedah mengikuti sesi latihan Pendawaian Elektrik Satu Fasa selama 4 hari yang bermula dari 28 – 31 Mac 2021.
Program ini membantu pelajar menimba pengetahuan sebagai usahawan hasil penerapan kursus yang telah dihadiri selain mempromosikan IKM Sik secara khususnya dan Institusi Pendidikan MARA (IPMA) secara umumnya sebagai salah satu penggerak program TVET di Malaysia.
Pelaksanaan program berbentuk CSR dan perkongsian ilmu kemahiran melalui pembelajaran berasaskan projek (100% amali). Sesi latihan adalah mengaplikasikan konsep Learning by Doing secara coaching melalui pertemuan 3 hari (Modul Pendawaian Elektrik Satu Fasa) & 1 hari (Modul Usahawan; Pemasaran Online Menggunakan Medium “SHOPEE”.
Sebagai maklum balas, peserta yang merupakan pelajar tahfiz menunjukkan minat dan pandangan positif mengenai program latihan ini.
Salah seorang peserta yang berasal dari Cambodia, Ahmad bin Mansur berkata pengalaman selama 3 hari tersebut memberi peluang yang terbaik kepada dirinya dan sangat teruja kerana pertama kali mengikuti sesi latihan di institusi kemahiran seumpama ini di Malaysia.
Ahmad juga berharap program seperti ini diteruskan di masa akan datang. Sesi latihan selama 4 hari ini berakhir dengan majlis penutup dan penyelaras sijil oleh Tuan Pengarah IKM Sik, Hj. Idris bin Hj. Alias.