ALOR SETAR – Pemberian sebanyak 500 kilogram (kg) daging dan juga beras pulut oleh Yayasan Salleh Saidin (YSS) memberikan kegembiraan kepada 250 penerima golongan asnaf di sekitar Parlimen Kuala Kedah.
Seorang penerima, Zahari Din,68, dari Kota Sarang Semut berkata, dia sekeluarga menghargai sumbangan tersebut sekaligus menceriakan sambutan Aidilfitri yang bakal menjelang Khamis ini.
Menurutnya, dia yang merupakan seorang bekas pekerja swasta tinggal bersama isterinya, Che Ma Hamid, 58 yang kudung kedua belah kakinya terpaksa dipotong akibat komplikasi penyakit kencing manis.
“Terima kasih kepada YSS kerana menghulurkan sumbangan kepada kami sekeluarga pada hari raya Aidilfitri beberapa hari lagi.
“Tahun ini raya kami sederhana, kerana ada anak-anak kami tidak dapat pulang beraya disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan tidak boleh merentas negeri,”katanya
Sementara itu, Pengerusi YSS, Datuk Mohd Salleh Saidin mengharapkan sumbangan tersebut dapat meringankan beban yang ditanggung oleh golongan berkenaan terutamanya bagi mereka yang mempunyai ahli keluarga yang ramai
Jelasnya, sumbangan itu juga diharap memberi keceriaan kepada keluarga berkenaan walaupun dihimpit dengan masalah kemiskinan dan secara tidak langsung dapat mengeratkan hubungan diantara sesama saudara Islam.
“Ketupat dan lemang menjadi antara juadah utama bagi penduduk di negeri ini jadi YSS memilih beras pulut dan daging untuk disumbangkan kepada mereka.
“Setiap keluarga yang layak akan menerima sebanyak dua kg daging dan dua kg beras pulut sebagai persiapan menjelangnya Hari Raya nanti “ujarnya.
Tambahnya, sumbangan tersebut diagihkan di tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Pengkalan Kundor, Anak Bukit dan Kubang Rotan. – KG