KENYATAAN MEDIA
KETUA POLIS DAERAH KUALA MUDA KEDAH
YDH ACP ADZLI BIN ABU SHAH
KES TULAR DI MEDIA SOSIAL BERKAITAN SEBUAH LORI MEMBAWA
SEKUMPULAN WARGANEGARA ASING MEMAKAI GELANG KUARANTIN
DI DAERAH KUALA MUDA
Pada 13 Jun 2021,Ahad jam lebih kurang jam 5 petang, telah tular satu video dan beberapa gambar di dalam media sosial yang menyiarkan sebuah lori yang membawa sekumpulan pekerja warganegara asing di sekitar kawasan Sg Petani, Kedah.
Video yang berdurasi selama 19 saat tersebut telah tular dan menunjukkan beberapa individu yang berada di dalam lori tersebut dengan memakai gelang kuarantin berwarna merah jambu.
Ekoran dari itu, pihak polis (IPD Kuala Muda) telah mengambil tindakan dengan mengesan serta merta lori bersama individu yang dibawa seperti yang tular di dalam media sosial tersebut. Hasil tindakan pantas pihak polis, lori tersebut berjaya dikesan dan ditahan berdekatan kawasan Sg Lalang, Bedong,Kedah.
Siasatan awal dilokasi, seramai (48) orang kes positif berada di dalam lori tersebut dalam keadaan tangan bergelang kuarantin dan sedang dalam perjalanan pulang dari Pusat
Kesihatan Daerah (PKD)Kuala Muda,Kedah ke asrama pekerja di kilang pemprosesan ayam di Sungai Lalang Bedong Kedah.
Hasil siasatan pihak IPD Kuala Muda, terdapat kes positif telah terkesan di sebuah kilang
pemprosesan ayam di Sungai Lalang, Bedong, Kedah.Lanjutan dari itu, pihak PKD Kuala Muda telah mengarahkan seramai (135) orang pekerja kilang yang positif tersebut untuk hadir bagi tujuan siasatan dan mengenakan gelang kuarantin.Seterusnya, pihak majikan telah mengatur sebuah buah lori khusus untuk membawa kesemua (135) kes positif dengan (3) trip perjalanan.
Semasa lori tersebut dalam perjalanan ke PKD Kuala Muda, video dan gambar tersebut telah dirakam serta dimuatnaik ke dalam media sosial dan mengundang kegusaran orang awam.
Tindakan telah diambil oleh pihak polis terhadap pemandu lori tersebut disaman atas kesalahan dibawah Sek 23(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Menggunakan Lesen Kenderaan Motor (LKM) bagi tujuan lain)
Selain itu, kertas siasatan turut dibuka melibatkan pengurus/majikan kilang tersebut dibawah Sek 22(b) Akta 342 (Kesalahan am tidak mematuhi apa-apa perintah yang dikeluarkan pegawai yang diberi kuasa) dan Sek 270 KK (Perbuatan cuai yang mungkin merebakkan kejangkitan apa-apa penyakit yang berbahaya kepada nyawa).
Orang awam dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan video tular berkaitan kejadian tersebut. Sebarang pertanyaan atau maklumat boleh disalurkan kepada Bilik Gerakan Op Covid IPD Kuala Muda ditalian 04-4299058.
(ADZLI BIN ABU SHAH) ACP
KETUA POLIS DAERAH KUALA MUDA
(Dikeluarkan pada 13 Jun 2021)