Sunday, 28, April, 2024
Utama Negeri Wanita ancam buang bayi bakal dilahirkan

Wanita ancam buang bayi bakal dilahirkan

oleh Wartawan Kedah Gazette
https://www.facebook.com/DrZakiZamanibinAbdRashid/videos/697020417509437/?__xts__%5B0%5D=68.ARAD9uku8ErgHyYcm2ebvLxwBxGg6mzSPQ1eQAM-HtEFS1RQSj6gzGQ0eVyGtz3DD8r8ThGp4ejBBRd1wZR6XcZd9IZtdbfJbgiSDsdWXhCgM8q1pscQurersc1SsBLTCmE3vau1b0jvhDEVNiUQ65FCqEzgwmlbGaRzRHyxforkI1siJwlgUQPspFkOP5CnuABgX4cIzPqK4Uw6o5ciQnzJr0wYFJeCXX6PNIfWVn-zCsJamGcFTCDWSXjQ2QMZSYke6vL7gTXii7BgavM_ewETHIW3nezUr2iy2kwcQHeToy3iR1O5cqWfZHon6FwZ3eaPYXl5BRPkNzr8OvfDIxoQ3Qu8vfPuLp8&__tn__=-R

ALOR SETAR – Seorang wanita yang sarat mengandung lapan bulan mengancam untuk membuang bayi yang bakal dilahirkan akibat gangguan mental kerana dipercayai mengambil dadah.

Wanita berusia 27 tahun dari Kuala Kedah itu bertindak demikian semasa pemeriksaan pihak Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kota Setar, Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) dan pegawai perubatan Klinik Kesihatan Kuala Kedah di rumahnya di Kuala Kedah, Rabu lepas.

Seorang aktivis MCPF, Dr Zaki Zamani Abdul Rashid berkata, wanita itu merupakan Orang Kena Pengawasan (OKP) AADK enggan menghadiri sebarang temu janji rawatan klinik sepanjang tempoh kehamilannya.

Beliau berkata, lebih merisaukan apabila wanita itu mempunyai simptom psikosis dan sering kali menyatakan ingin membuang bayi dalam kandungannya apabila dilahirkan kelak.

Katanya, simptom penyakit mental ini berlaku dipercayai pengaruh dadah kerana kali terakhir wanita itu mengambil syabu pada pukil 9 pagi hari berkenaan.

“Maka saya telah mengatur kemasukan wanita ini ke wad psikiatri setelah berbincang dengan pakar psikiatri untuk merawat penagihannya dan demi keselamatan bayi yang akan dilahirkan,” katanya, yang juga merupakan seorang doktor di sebuah pusat rawatan swasta.

Dr Zaki Zamani yang merupakan Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuala Kedah berkata, AADK telah membawanya ke Balai Polis Kuala Kedah sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah di sini.

“Trend wanita muda yang ketagihan dadah dan hamil anak tidak sah taraf ini adalah sesuatu yang membimbangkan.

“Nampaknya kita perlu bertindak segera menyelamatkan bayi-bayi seperti ini ketika mereka belum dilahirkan lagi,” katanya. – KG

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com