Thursday, 2, May, 2024
Utama Negeri Tiada aktiviti pembalakan di Puncak Janing – JPNK

Tiada aktiviti pembalakan di Puncak Janing – JPNK

oleh Ammar Haziq
Gambar keadaan sebuah jalan balak lama di Puncak Janing yang tular di Media sosial.

KENYATAAN AKHBAR JABATAN PERHUTANAN NEGERI KEDAH BERKAITAN LAPORAN FACEBOOK OLEH PERTUBUHAN PELINDUNG KHAZANAH ALAM (PEKA) DI TAMAN EKO RIMBA PUNCAK JANING.

Terdapat satu aduan awam mengenai pembalakan di Taman Eko Rimba (TER) Puncak Janing telah disebarkan melalui media sosial facebook Lann Kopnai dan Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA) pada 10Jun 2021.

Laporan itu membangkitkan berkenaan pembalakan berhampiran TER Puncak Janing yang menyebabkan berlakunya kekeruhan kepada sumber air masyarakat di perkampungan sekitar Puncak Janing.

TER Puncak Janing adalah sebuah Hutan Lipur yang diurus oleh Jabatan Perhutanan Negeri Kedah dan terletak di Kompartmen 41, Hutan Simpan Bukit Perangin. Terdapat sebuah tandak air masyarakat bersaiz 20 meter persegi yang telah dibina di dalam kawasan TER Puncak Janing tersebut dan digunakan oleh penduduk Kampung Pasir Putih dan Kampung Tengah Baru.

Semakan lapangan telah dijalankan oleh Jabatan Perhutanan Negeri Kedah pada 10 Jun 2021. Hasil semakan mendapati tidak terdapat aktiviti pembalakan di sekitar Kawasan TER Puncak Janing.

Walau bagaimanapun, kekeruhan kepada sumber air masyarakat disebabkan oleh aktiviti penyelenggaraan dan pembersihan jalan balak lama yang sedang dilaksanakan untuk kegunaan kakitangan Jabatan Perhutanan Negeri Kedah bagi menjalankan aktiviti pra pelesenan untuk kelulusan kawasan pembalakan di Kompartmen 42 dan kompartmen 43, Hutan Simpan Bukit Perangin.

Aktiviti penyelenggaraan dan pembersihan jalan balak lama tersebut telah menyebabkan kekeruhan kepada aliran anak sungai (carok) yang mengalir ke TER Puncak Janing. Pada masa yang sama, taburan hujan yang agak tinggi di kawasan tersebut telah menyumbang kepada kekeruhan air sungai tersebut.

Bagi menangani masalah kekeruhan bekalan air masyarakat, Jabatan Perhutanan Negeri Kedah telah mengarahkan kerja-kerja penyelenggaraan dan pembersihan jalan balak lama tersebut dihentikan dengan serta merta.

MUHAMAD BIN ABDULLAH

Pengarah Perhutanan Negeri Kedah

13 Jun 2021

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com