Friday, 22, November, 2024
Utama Negeri Pelajar UUM terima Anugerah Terbaik Perakaunan 2020

Pelajar UUM terima Anugerah Terbaik Perakaunan 2020

oleh Ammar Haziq
Wong Wei Qi

Pix Ihsan UUM

Sintok: Pelajar Sarjana Muda Perakaunan (Sistem Maklumat), Wong Wei Qi mengharumkan nama Universiti Utara Malaysia (UUM) apabila diumumkan sebagai penerima Anugerah Pelajar Terbaik Perakaunan 2020 oleh Institut Perakaunan Malaysia (MIA) pada Persidangan Antarabangsa MIA 2021 yang diadakan secara atas talian, baru-baru ini.

Susulan pengiktirafan tersebut, Wei Qi, 23, akan menerima biasiswa pembangunan profesional daripada Institute of Chartered Accountants in England and Wales (ICAEW) dan wang tunai berjumlah RM500.

Pelajar tahun akhir dari Pusat Pengajian Perakaunan Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA-UUM) itu kini sedang mengikuti latihan industri di Boston Consulting Group sebelum menamatkan pengajian di UUM.

Wei Qi berkata, pada awalnya dia menerima mesej daripada Penyelaras Program Profesional TISSA-UUM, Dr. Siti Seri Delima Abdul Malak, yang memaklumkan tentang pencalonannya bagi anugerah tersebut, seterusnya menjalani temubual secara atas talian dengan MIA dan ICAEW.

Katanya, lebih mengujakan apabila mengetahui dia telah terpilih sebagai penerima Anugerah Pelajar Perakaunan Terbaik MIA yang telah mengiktiraf pencapaiannya dalam bidang perakaunan.

“Saya berterima kasih kepada UUM yang memberi peluang besar sebagai calon anugerah ini dan ibu bapa saya di atas sokongan dan bimbingan yang diberikan tanpa syarat. Saya juga selalu mendorong diri untuk keluar dari zon selesa.

“Ingat! Kita tidak pernah terlewat untuk memulakan sesuatu jika ingin berjaya, bagaimanapun masa tidak pernah menunggu kita. Segalanya terletak di atas diri masing-masing yang akan menentukan kejayaan diri,” katanya.

Sementara itu, Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Ahmad Bashawir Abdul Ghani mengucapkan tahniah di atas kejayaan yang diperoleh Wong Wei Qi itu yang mana pencapaian tersebut secara tidak langsung telah melonjakkan lagi nama UUM.

Menurutnya, program perakaunan yang ditawarkan di UUM itu juga telah mendapat pengiktirafan MIA.

“Dengan pencapaian ini membuktikan program perakaunan UUM adalah setanding dengan universiti terkemuka dunia dan selaras dengan hasrat negara menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan dunia yang terbaik.

“Saya berharap kejayaan demi kejayaan yang dikecapi hari ini akan menjadi pemangkin semangat dan inspirasi kepada seluruh warga universiti untuk terus memberikan yang terbaik,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com