Sunday, 28, April, 2024
Utama Negeri Sumbang tiga buah mesin ABG bantu hospital di Kedah

Sumbang tiga buah mesin ABG bantu hospital di Kedah

oleh Ammar Haziq
Mohammad Yaakub (dua kanan) menyerahkan sumbangan kepada mesin ABG kepada Dr Siti Nurhani Khalid di Bilik Gerakan Bencana HSB kelmarin.

ALOR SETAR – Tiga buah mesin perubatan arterial blood gases (ABG) disumbangkan kepada tiga hospital di Kedah bagi membantu barisan hadapan kesihatan berikutan peningkatan jumlah pesakit Covid-19 yang membimbangkan sejak beberapa bulan lalu.

Pengarah Urusan Murtadha Dakwah Academy (Madad), Mohammad Yaakub Yusra berkata, tiga buah mesin tersebut yang bernilai RM105,000 masing-masing disumbangkan kepada Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, Hospital Jitra dan Hospital Baling.

Menurutnya, sumbangan berkenaan dilakukan selepas mendapat nasihat Malaysian Relief Agency (MRA) cawangan Kedah Darul Aman tentang keperluan yang diperlukan oleh hospital pada masa ini bagi membantu pesakit yang mengalami masalah pernafasan.

“Mesin ABG sebanyak 3 unit bernilai RM105,000 ini adalah sumbangan dari Tuan Asri Ahmad iaitu dari Asri Ahmad Academy Sdn Bhd untuk membantu hospital-hospital yang memerlukan peralatan ini hasil nasihat yang diberikan oleh MRA cawangan Kedah Darul Aman.

“Sebelum ini sudah banyak sumbangan seperti pelindung muka, pelitup muka dan PPE oleh pihak mahupun NGO lain, maka Asri Ahmad Academy Sdn Bhd cuba membantu dengan menyumbang mesin ABG ini pula.

“Kami mahu membantu hospital di saat pesakit Covid-19 memerlukan keperluan ini,” katanya ketika ditemui media.

Beliau berkata demikian selepas menyerahkan sumbangan tersebut kepada Timbalan Pengarah Perubatan Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, Dr Siti Nurhani Khalid di Bilik Gerakan Bencana HSB kelmarin.

Mengulas lanjutnya, Mohammad Yaakub berkata, penyumbang memilih untuk mendermakan mesin ABG setelah mengambil kira peningkatan jumlah pesakit Covid-19 pada kadar yang membimbangkan sejak beberapa bulan lalu

“Sehinggakan hospital di seluruh Malaysia tidak lagi mampu menerima kemasukan pesakit baharu, sekaligus kekurangan alat bantuan pernafasan,” ujarnya. – KG

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com