Saturday, 23, November, 2024
Utama Nasional 80 peratus penduduk Langkawi akan divaksin, projek rintis pelancongan bebas Covid-19

80 peratus penduduk Langkawi akan divaksin, projek rintis pelancongan bebas Covid-19

oleh Ammar Haziq
Nancy (dua kiri semasa melawat LICC di Langkawi pada hari ini. FOTO MOTAC

17 Julai 2021 – Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC)
dalam usaha menjadikan Pulau Langkawi sebagai destinasi rintis Program COVID19 Free Destination bagi merealisasikan sasaran 80% populasi penduduk pulau
tersebut divaksinasikan untuk mencapai tahap imuniti kelompok. Pelaksanaan ini
selaras dengan 3 Fasa Pelan Pemulihan Pelancongan yang telah digariskan oleh
MOTAC.


Cadangan inisiatif yang dibawa oleh MOTAC untuk meningkatkan pemberian vaksin
kepada penduduk Langkawi telah dipersetujui oleh pihak kerajaan melalui Mesyuarat
Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF), Kementerian Sains, Teknologi
dan Inovasi (MOSTI) bagi meningkatkan kadar imunisasi penduduk dalam masa
terdekat, seterusnya dapat merealisasikan Pulau Langkawi sebagai destinasi rintis
bagi Program COVID-19 Free Destination.


“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada YB Khairy Jamaluddin, Menteri
MOSTI yang merealisasikan Program COVID-19 Free Destination di Pulau Langkawi
sebagai projek rintis dan seterusnya usaha ini akan diperluaskan ke destinasi-destinasi pelancongan lain di negara ini iaitu di Pulau Pinang, Pahang, Johor, Melaka
dan Sabah secara berperingkat sebagai green travel bubble.

YB Khairy juga memberi jaminan bahawa bekalan vaksin akan tiba pada minggu hadapan dan adalah mencukupi bagi menjayakan sasaran 80% imuniti kelompok,” jelas YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya.

Mengenai pemilihan Pulau Langkawi sebagai destinasi rintis, YB Dato’ Sri Hajah
Nancy berkata strategi untuk memilih destinasi rintis adalah perlu bagi memberi
keyakinan kepada masyarakat terhadap keselamatan di sesuatu destinasi
pelancongan negara dan sebagai permulaan.

Pulau Langkawi dipilih sebagai “testing ground” untuk menyemarakkan kembali industri yang telah lama terjejas akibat penularan pandemik COVID-19 memandangkan pulau itu terasing (isolated). Faktor itu juga menurutnya akan memudahkan urusan pemantauan.


Destinasi rintis yang dipilih ini mempunyai kekuatannya yang tersendiri seperti
mempunyai rangkaian penerbangan seranta dan antarabangsa, serta mempunyai
kepelbagaian kemudahan penginapan bagi pelbagai lapisan segmen pelancong.


Jumlah penduduk di Pulau Langkawi yang layak menerima vaksin adalah
dianggarkan sekitar 76,400 orang daripada keseluruhan penduduk yang berjumlah
111,500 orang.

Mengikut laporan yang dikeluarkan oleh CITF Negeri Kedah, sehingga 12 Julai 2021,
jumlah penduduk Langkawi yang telah mendaftar untuk vaksinasi adalah seramai
61,313 orang. Daripada jumlah tersebut, bilangan penerima vaksin dos pertama
adalah seramai 27,362 orang manakala dos kedua seramai 20,465 orang.


“Ini bermakna hanya 30% jumlah penduduk yang mendaftar telah menerima dos
lengkap. Angka ini masih rendah. Sebab itulah kita mahu memastikan usaha yang
dilaksanakan hari ini dapat membantu mempercepatkan kadar pemberian vaksinasi
kepada penduduk di pulau ini,” jelas YB Dato’ Sri Hajah Nancy.


Melalui kerjasama semua Jabatan/Agensi di peringkat Persekutuan dan Negeri, satu
PPV Integrasi (PPVI) baharu dilancarkan pada hari ini, 17 Julai 2021 di Pusat
Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC) dengan kapasiti penerima vaksin
disasarkan seramai 3,000 orang sehari.

Usaha MOTAC menerusi program ini juga
adalah untuk memastikan sektor pelancongan mampu menjana semula pendapatan
secara berterusan kepada negara selepas sektor ini dapat dibuka secara
berperingkat.


Selain mengadakan sesi lawatan ke PPVI LICC, YB Dato’ Sri Hajah Nancy juga akan
meninjau perjalanan proses pemberian vaksin di dua PPV awam sedia ada iaitu Klinik
Kesihatan Padang Mat Sirat dan Dewan Badminton Kompleks Sukan LADA.


Pada masa yang sama, beliau turut mengadakan sesi libat urus bersama wakil-wakil
persatuan berkaitan pelancongan di Pulau Langkawi secara dalam talian.
Dalam pada itu, YB Dato’ Sri Hajah Nancy optimis sektor pelancongan dan
kebudayaan secara keseluruhan dapat dipulihkan kembali mengikut sasaran pada
bulan November ini atau lebih awal mengikut Pelan Pemulihan Negara fasa ke empat
sekiranya rakyat terus mematuhi SOP dan situasi semasa COVID-19 berada pada
tahap yang tidak membimbangkan.

Beliau turut menyeru seluruh rakyat khususnya penduduk di Pulau Langkawi untuk
sentiasa mengamalkan SOP yang telah ditetapkan dan menepati temujanji vaksinasi
agar sasaran 80% imuniti kelompok di pulau tersebut dapat dicapai seterusnya dapat
kembali menjadi destinasi utama pelancongan Malaysia di mata dunia.


“Marilah kita bersama-sama menyumbang kepada usaha menangani pandemik ini
dengan lebih berkesan agar kita dapat keluar daripada kemelut ini. Menerusi usaha
ini juga, kita berharap aktiviti ekonomi utama iaitu pelancongan di Pulau Langkawi
dapat berjalan seperti sedia kala bagi memastikan kebajikan dan pendapatan rakyat
dapat dijana semula. Ayuh kita berganding bahu membantu kerajaan menjayakan
Program Imunisasi Kebangsaan Covid-19: Rindu Melancong, Jom Vaksin Dulu,”
tambah YB Dato’ Sri Hajah Nancy.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com