Friday, 3, May, 2024
Utama Nasional Belanjawan 2024: Rebat bil elektrik sehingga RM40 sebulan kepada golongan miskin tegar

Belanjawan 2024: Rebat bil elektrik sehingga RM40 sebulan kepada golongan miskin tegar

oleh Ammar Haziq

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju untuk meneruskan pemberian rebat bil elektrik sehingga RM40 sebulan kepada isi rumah miskin tegar dengan peruntukan RM55 juta.

Ketika membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (2024) atau Belanjawan 2024, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan juga bersetuju mengecualikan bayaran deposit akaun bil elektrik atas nama sendiri.

“Pemberian subsidi elektrik secara pukal sangat membebankan dan lebih menguntungkan golongan kaya.

“Pada tahun 2022, trend menunjukkan, 10 peratus pelanggan dengan penggunaan elektrik tertinggi menikmati 50 peratus subsidi, sedangkan 50 peratus pelanggan dengan penggunaan elektrik terendah hanya menikmati 10 peratus subsidi yang diberikan.

“Maka sebab itu, bermula tahun ini, kerajaan telah melaksanakan subsidi bersasar dengan melepaskan sebahagian subsidi bagi 10 peratus penggunaan elektrik tertinggi tetapi pada masa yang sama, mengekalkan subsidi yang sama bagi 90 peratus pengguna.

“Pendekatan bersasar ini telah dapat menjimatkan lebih RM4.6 bilion daripada unjuran subsidi elektrik RM20 bilion.

“Namun, kerajaan masih menanggung subsidi elektrik RM16 bilion untuk tahun 2023 khususnya bagi pengguna di rumah serta Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS),” kata Perdana Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam masa sama, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, bagi mengelakkan ketirisan dan penyeludupan bahan api diesel, kerajaan berhasrat untuk merasionalisasikan subsidi diesel secara berfasa.

Secara konsepnya, Anwar menambah harga diesel bersubsidi akan terus dinikmati oleh pengguna terpilih seperti syarikat pengangkutan barangan.

“Sementara pengguna lain akan dikenakan harga yang lebih tinggi. Dengan pendekatan tersebut, ia dapat mengurangkan ketirisan subsidi tetapi pada masa yang sama, mengurangkan impak kepada harga barangan untuk rakyat.

“Menurut data penggunaan, jualan diesel bersubsidi meningkat sehingga 40 peratus sejak 2019 sedangkan jumlah kenderaan menggunakan diesel hanya meningkat kurang tiga peratus.

“Ini bermakna, wujud kemungkinan aktiviti penyeludupan yang serius akibat harga diesel Malaysia yang terlalu murah,” ujarnya lagi.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com