UMNO TIDAK BOLEH LAGI MENJADI PARTI TEMPEL-TEMPELAN
SUNGAI PETANI, 11 Feb. — Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid menegaskan, UMNO tidak boleh lagi menjadi sebuah parti tempel-tempelan.
Sebaliknya UMNO perlu menjadi parti dominan yang berkuasa menerusi kemenangan secara majoriti besar dalam Pilihanraya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang.
“UMNO mesti jadi parti dominan, UMNO boleh menang dalam pilihanraya, kita berkuasa, baru kita boleh bercakap kepada orang, kalau tidak kita hanya sembang sahaja, akhirnya kita bergaduh sesama kita.
Tidak guna kalau kita tidak menang, kita tidak menjadi kerajaan, kita hanya menjadi parti tempel-tempelan.”
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Penutup Bengkel Pengukuhan Kepimpinan dan Jentera Jalinan Rakyat (JR) Wanita UMNO Negeri Kedah, di sini petang semalam.
Jelas Mahdzir, ahli-ahli UMNO perlu mengambil pengajaran yang berlaku terhadap Parti Golkar di Indonesia yang kini menjadi parti tempelan selepas tewas dalam pilihanraya pada tahun 1998.
“Mereka jatuh lebih awal daripada UMNO mereka jatuh pada tahun 1998, hari ini 2022, Golkar telah bertanding lima kali dalam pilihanraya Indonesia, Golkar pernah jadi Presiden, Bung Karno dari Golkar, Suharto dari Golkar, Habibi dari Golkar.
Selepas itu Presiden-presiden yang datang bukan lagi dari Golkar termasuk Pak Jokowi yang jadi Presiden Indonesia sekarang dari Parti PDI-Perjuangan, di mana Golkar yang seumur dengan UMNO, Golkar telah menjadi parti tempel-tempelan, Golkar telah menjadi parti peminta sedekah kepada kerajaan yang ada.”
Tambah Mahdzir, UMNO perlu senada dan sederap di semua peringkat untuk mencapai optik menang pada PRU15 nanti tanpa dimomokkan dengan cerita wujudnya beberapa puak di peringkat kepimpinan tertinggi parti itu.
“Saya duduk bersama Datuk Seri Zahid, saya duduk dengan Datuk Seri Ismail Perdana Menteri, Datuk Mat Hassan, Khaled Nordin, duduk 5 orang, kita tak nak pun timbul soal nak pecah belahkan UMNO ni.
Orang lain seronok di luar sana kalau boleh pecah belahkan UMNO ini, puak ini satu kumpulan, puak itu satu kumpulan, mereka boleh cari makan kalau berpecah belah, sebab itu saya katakan pilihanraya lepas ini kita kena ada satu kumpulan sahaja, kumpulan itu namanya UMNO.”
Sebelum ini kata Mahdzir, ramai yang beranggapan bahawa UMNO akan kekal menjadi pembangkang sehingga tahun 2023 selepas tewas pada PRU14 dan akan berdepan PRU15 sebagai pembangkang.
Namun katanya, takdir Allah telah mengubah senario politik negara sehingga membolehkan UMNO kembali berkuasa dan bakal berdepan dengan PRU15 bukan sebagai pembangkang.
Justeru UMNO tegas Mahdzir, tidak boleh bermegah-megah dan sombong dengan kuasa yang dipegang kini bukan dengan angka majoriti.
“Kita kena menang pilihanraya kali ini kalau nak terus jadi kerajaan, kita kena cukup kerusi untuk bentuk kerajaan, kalau tidak cukup kerusi kita akan kembali jadi pembangkang.”
Beliau turut menyeru agar ahli-ahli UMNO tidak hilang fokus dan terus memperkuatkan parti serta menilai kemampuan parti dalam menghadapi PRU15.