Alor Setar– Etiqa menyerahkan sebuah van penumpang serta penapis air untuk komuniti setempat di Sekolah Menengah Agama Makarimul Akhlak, Alor Setar, Kedah pada Sabtu.
Melalui inisiatif ini, Etiqa telah menzahirkan keperihatinan dengan membiaya pembelian sebuah van penumpang muatan 15 tempat duduk untuk kegunaan harian pelajar-pelajar di sekolah Sekolah Menengah Agama Makarimul Akhlak.
Pihak sekolah ketika ini menggunakan sebuah van jenama Nissan Vanette yang berusia 30 tahun keluaran tahun 1992. Van yang uzur itu hanya dapat digunakan di sekitar Baling sahaja sering rosak dan dikhuatiri akan menggadaikan keselamatan para pelajar.
Sekolah Menengah Agama Makarimul Akhlak, Alor Setar, Kedah mempunyai kira-kira 200 orang pelajar di mana hampir 75% daripada mereka adalah daripada golongan asnaf manakala selebihnya adalah daripada keluarga berpendapatan rendah (B40).
Dengan adanya bantuan van penumpang sumbangan Etiqa ini, aktiviti harian pihak sekolah serta aktiviti luaran pelajar khususnya yang melibatkan perjalanan jarak jauh akan menjadi lebih selesa dan selamat.
Majlis simbolik penyerahan van tersebut ini telah disempurnakan oleh Encik Zafri Ab. Halim, Ketua Pegawai Eksekutif, Etiqa Family Takaful Berhad. Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Encik Zawahir Abdullah, Presiden Islamic Aid Malaysia (IAM) selaku wakil rakan strategik NGO.
Projek istimewa ini mendapat pembiayaan sepenuhnya oleh Etiqa melalui Tabung Zakat Etiqa dan dilaksanakan dengan kerjasama Islamic Aid Malaysia (IAM).
Pada hari yang sama, Etiqa turut menyumbangkan 20 set penapis air atau Outdoor Master Filter melalui Projek Bekalan Air Bersih Etiqa – 2022, peringkat Negeri Kedah. Penapis air tersebut diagihkan kepada pusat-pusat tahfiz, madrasah, masjid dan rumah kebajikan terpilih di sekitar Daerah Baling, Kedah.
Projek ini bertujuan memberi manfaat kepada penerima-penerima zakat untuk mendapatkan bekalan air bersih bagi kegunaan harian.
Sementara itu, Zafri berkata, van baharu yang disumbangankan ini, diharapkan mampu membantu kelangsungan aktiviti para pelajar dan pihak sekolah terutamanya untuk perjalanan jarak jauh.
“Yang lebih mustahak, kami titik beratkan keselamatan pelajar agar mereka selamat sampai ke destinasi dan tidak terkandas semasa perjalanan. Kami berharap kemudahan-kemudahan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya dan dipelihara agar dapat memanfatkan lebih ramai lagi pelajar di masa hadapan.
“Kami bersyukur, Projek Bekalan Air Bersih Etiqa yang telah memasuki tahun ke-11 ini telah mengubah kehidupan komuniti di seluruh Malaysia. Dengan kerjasama Islamic Aid Malaysia, kami berharap agar lebih ramai rakyat Malaysia dapat menikmati bekalan air bersih.
“Bagi pihak Etiqa, kami amat berbangga kerana berpeluang untuk menyumbang kepada masyarakat yang memerlukan dan bekerjasama dengan Islamic Aid Malaysia, rakan strategik NGO kami. Projek ini merupakan satu lagi bukti komitmen Etiqa dalam meningkatkan mutu kehidupan, sosial dan ekonomi masyarakat yang memerlukan bantuan di bawah slogam ‘Etiqa Cares’, iaitu program tanggungjawab sosial korporat kami,” ” ujar beliau.
Bagi Zawahir pula, sebagai sebuah badan NGO, Islamic Aid Malaysia (IAM) memainkan peranan sebagai pengantara di antara individu mahu pun golongan korporat yang berhajat untuk melaksanakan usaha-usaha kemanusiaan dalam membantu golongan yang memerlukan.
“Kami berbesar hati kerana berpeluang untuk bekerjasama dengan Etiqa untuk
melaksanakan satu program yang amat bermakna dan berguna kepada Sekolah Menengah Agama Makarimul Akhlak dan komuniti berhampiran. Projek ini merupakan satu lagi bukti keprihatinan Etiqa dalam mengagihkan zakat perniagaan mereka..
“Saya yakin dengan usaha yang dilakukan oleh Etiqa akan memberi kesan positif buat pelajar-pelajar Sekolah Menengah Agama Makarimul Akhlak untuk meneruskan pengajian dan sumbangan Outdoor Water Filter ini pastinya memberi manfaat kepada penerima. Moga usaha ini turut dicontohi oleh syarikat korporat yang lain dalam membantu mereka yang memerlukan,” katanya.