Thursday, 2, May, 2024
Utama Negeri Nelayan jatuh di Tanjung Dawai, operasi menyelamat diaktifkan

Nelayan jatuh di Tanjung Dawai, operasi menyelamat diaktifkan

oleh Ammar Haziq
Mangsa, Zulkifli dipercayai jatuh ke dalam laut selepas bot yang dinaiki bersama abangnya dirempuh oleh sebuah bot fiber lewat malam tadi.

TANJUNG DAWAI – Seorang nelayan tempatan dilaporkan hilang selepas bot yang dinaiki bersama abangnya dirempuh oleh sebuah bot fiber lewat malam tadi.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah Komander Maritim Mahmad Faizal bin Ahmad berkata, Maritime Rescue Sub- Centre (MRSC) Langkawi segera melancarkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang diaktifkan pada jam 10.45 malam.

Mangsa Zulkifli bin Mohamad berusia 52 tahun, dilaporkan keluar ke laut bersama abangnya Jaafar bin Muhamad.

Bot mangsa dipercaya dirempuh di bahagian belakang oleh sebuah bot fiber yang dipandu laju. Bot tersebut terus beredar melarikan diri.

Mangsa dipercayai terjatuh ke dalam sungai dan usaha mencari mangsa dibantu oleh beberapa bot nelayan berhampiran.

Waris mangsa yang hilang mendengar penerangan tentang operasi penyelamat yang digerakkan pasukan penyelamat.

Usaha mencari dan menyelamat disambung semula hari ini melibatkan beberapa buah bot dari Agensi Penguatkuasa iaitu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Pasukan Polis Marin, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (BOMBA) . Turut membantu pencarian beberapa buah bot nelayan tempatan.

Sektor pencarian pada hari ini meliputi kawasan seluas 12.54 batu nautika persegi.

Mahmad Faizal berkata, sebarang aduan dan kes kecemasan di laut boleh dilaporkan melalui talian 24 jam MERS atau menghubungi Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Kuala Kedah di talian 047310579.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com