Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor kembali menghangatkan suasana bolasepak tanah air apabila memuatkan status di Facebooknya yang dipercayai ditujukan kepada pihak pengurusan Johor Darul Ta’zim (JDT).
Nampaknya Kedah Darul Aman (KDA) FC berentap lebih awal dengan JDT di media sosial sebelum kedua-dua pasukannya dijadualkan bertemu pada saingan Liga Super 2022 di Stadium Darul Aman pada 4 Oktober ini.
“Yang nampak dok kalut pasai jurulatih pasukan lain tu pasai apa? Agaknya pasai jurulatih tu dia takleh nak call direct mcm dia dok call jurulatih team lain sebelum ni kot!,” tulisnya di media sosial pada Khamis.
Status Menteri Besar Kedah itu mendapat reaksi lebih 3,000 netizen yang turut memberikan pelbagai komen malah ada juga yang tertanya-tanya punca kepada status tersebut.
“Cerita dia nak ambik balik player pinjaman pun, dia call jurulatih dgn player direct jaaa suruh balik, padahal perjanjian pinjaman dibuat antara pengurusan team A dengan pengurusan team B, bukan dengan jurulatih pun… nampak dak kerek dia?
“Dia ingat dia boleh buat semua benda dan org lain takleh kata apa kat dia ka? Ni tahun 2022 dah cik oiii… bukan tahun 1422,” ujar Muhammad Sanusi lagi.
Perkara tersebut mendapat reaksi pantas pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang minta pemimpin tersebut menutup mulutnya daripada terus berkata-kata.
Tunku Mahkota Johor itu memuatkan status tersebut di status Facebooknya dengan gambar seorang badut.
“Dari dulu baik zip aja mulut itu. Makin banyak bunyi makin banyak terserlah kebodohan. Pegang semua benda gagal. Negeri gagal, ekonomy gagal, sukan gagal, semua gagal. Ini namanya expert of gagal/failure,” tulis TMJ.
Bagaimana status tersebut disambut sekali lagi oleh Muhammad Sanusi dengan kenyataan “Panaih takpaaa, koyak janganlah” di Facebooknya yang kemudiannya mendapat reaksi lebih 9,000 netizen.