SUNGAI PETANI, 16 OKT – Kerana mahu menukar jantina, seorang pondan sanggup bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) di sebuah kelab malam untuk mengumpul
modal bagi menampung kos pembedahannya.
Itu pengakuan dilakukan seorang pondan warga Thailand yang dicekup sepasukan pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah dalam serbuan di sebuah kelab malam di Taman Pekan Baru, dekat sini malam tadi.
Dalam Op Gegar dengan kekuatan 14 pegawai JIM selama dua jam bermula pada 11 malam itu, pondan berusia 20-an berkenaan ditahan bersama 10 wanita warga asing yang dikesan bekerja sebagai pelayan pelanggan (GRO) di premis terbabit.
Ketika serbuan, ada antara GRO berkenaan dilihat melarikan diri melalui pintu belakang namun gagal lolos kerana ia dikunci dan ada juga yang lari bersembunyi dalam tandas bagaimanapun mereka berjaya dikesan pegawai serta anggota JIM.
Ketika semua GRO berjaya ditahan, seorang daripada mereka dilihat kurang berkomunikasi dan lebih banyak berdiam diri selain berada dalam keadaan sugul.
Bagaimanapun, dia ketika itu disangka
mungkin takut kerana ditahan namun selepas dibawa ke pejabat JIM untuk dokumentasi, rahsia sebalik sikap pendiamnya itu akhirnya terbongkar apabila GRO berkenaan sebenarnya adalah lelaki.
Hasil siasatan lanjut mendapati dia yang pada awalnya disangka perempuan itu mengaku mahu mencari wang dengan cara mudah dan pantas untuk melakukan pembedahan menukar jantina di negara asal.
Pengarah Imigresen Kedah Mohd Ridzzuan Mohd Zain berkata, dalam serbuan itu seramai 11 individu terdiri daripada seorang lelaki berpewatakan lembut warga Thailand, tujuh wanita Thailand dan tiga wanita Vietnam yang berusia 18 hingga 44 tahun berjaya ditahan .
“Hasil pemeriksaan lanjut, kita mendapati seorang wanita warga Vietnam memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) sebagai pembantu rumah di Selangor namun dia didapati berada di premis pusat hiburan ini dipercayai untuk bekerja sebagai pelayan.
“Kita tidak menolak kemungkinan majikan atau pemilik premis menggunakan kemudahan bagi mendapatkan pas jangka panjang tinggal di negara ini untuk pekerja pembantu rumah yang kemudiannya disalahgunakan,” katanya pada sidang media di lokasi serbuan malam tadi.
Beliau berkata, pihaknya turut mengesan kesalahan dilakukan seorang lagi wanita warga Vietnam yang didapati menggunakan Pas Isteri Kepada Warganegara bagi mendapatkan Pas Jangka Panjang untuk tinggal di negara ini.
“Antara kesalahan lain yang dikesan termasuk salah guna pas lawatan sosial dengan bekerja sebagai GRO di kelab malam dan kita turut mengeluarkan saman kepada saksi iaitu seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun yang bekerja sebagai juruwang di premis terbabit.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15(1)(c) akta yang sama dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya.
Menurutnya, semua mereka akan direman bagi membantu siasatan dan mereka dihantar ke Depot Tahanan Imigresen Belantik, Sik.