ALOR SETAR, 20 Okt. – Seorang lelaki berdepan hukuman gantung sampai mati setelah dituduh membunuh bayinya sendiri di rumah didiami mereka di Kampung Teluk Jawa, Sungai Lintang dalam Mukim Padang Hang dekat sini, dua minggu lalu.
Pertuduhan terhadap Muhammad Nasyran Zamzury, 28, dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret, Siti Norhidayah Mohd. Noor di Mahkamah Majistret 2, Kompleks Mahkamah Alor Setar hari ini.
Bagaimanapun tiada pertuduhan direkodkan sebaik pertuduhan tersebut dibacakan terhadapnya.
Mengikut kertas pertuduhan, Muhammad Nasyran yang merupakan seorang petani, didakwa menyebabkan kematian bayi lelaki berusia tiga bulan tersebut antara pukul 9 malam, 4 Oktober 2022 hingga 1.30 petang, 10 Oktober 2022.
Pertuduhan ke atasnya dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.
Sebelum ini media melaporkan mengenai kematian bayi tersebut yang disyaki dibunuh tertuduh, selepas isterinya melarikan diri kerana tidak tahan dipukul suami.
Menerusi laporan media, tertuduh dilaporkan turut memiliki beberapa rekod kesalahan lampau.
Selain pertuduhan membunuh itu, tertuduh turut berdepan tiga lagi pertuduhan dengan salah satu daripadanya adalah, memasukkan dadah berbahaya jenis methamphetamine ke dalam dirinya sendiri tanpa kebenaran pihak berwajib.
Kesalahan itu didakwa dilakukan kira-kira pukul 7 petang, 10 Oktober lalu di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar.
Muhammad Nasyran mengaku bersalah terhadap pertuduhan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 itu dengan tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 18 Disember 2022, sementara menanti laporan patologi.
Dalam pada itu, tertuduh kemudiannya mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan ketiga dihadapinya iaitu mencederakan bekas teman wanitanya pada 2019.
Kesalahan itu didakwa dilakukan terhadap wanita berkenaan yang kini berusia 26 tahun di sebuah bilik sewa di Jalan Meranti Off Jalan Putra dekat sini, kira-kira pukul 7 pagi, 5 Mei 2019.
Kes tersebut ditetapkan untuk disebut semula pada 20 November depan sementara menanti serahan dokumen. Dia juga tidak dibenarkan untuk diikat jamin.
Sementara itu dalam pertuduhan terakhir, tertuduh yang mempunyai dua lagi anak berusia setahun dan enam tahun, mengaku bersalah atas dakwaan dengan sengaja mencederakan isterinya yang berusia 22 tahun.
Untuk kesalahan itu, Majistret menjatuhkan hukuman penjara selama 14 bulan terhadap tertuduh, bermula dari tarikh dia ditangkap.
Kesalahan itu didakwa dilakukan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 326A kanun sama.
Kesemua pertuduhan itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Negeri, Nurfatin Mastura Asri manakala tertuduh hanya diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Zuriyah Mohd Nordin untuk pertuduhan terakhir dihadapi iaitu mencederakan isterinya.
Bagi tiga pertuduhan awal dihadapinya, tertuduh tidak diwakili oleh mana-mana peguam.