Friday, 22, November, 2024
Utama Negeri Warga emas 30 tahun ulang alik naik bas dapatkan rawatan hospital

Warga emas 30 tahun ulang alik naik bas dapatkan rawatan hospital

oleh Ammar Haziq
Noran Zamini (kanan) berjumpa dengan Hashim semasa program turun padang di Kampung KEDA Batu 13 baru-baru ini.

POKOK SENA – Akibat kesempitan hidup, seorang warga emas terpaksa menaiki bas berulang alik ke hospital sejak 30 tahun lalu untuk mendapatkan rawatan berkala pelbagai penyakit yang dihidapinya.

Hashim Ahmad, 84, berkata dia tidak mampu membeli sebarang kenderaan walaupun sebuah motosikal terpakai berikutan berpendapatan tidak menentu dengan menoreh getah di kebun orang lain.

Katanya, setiap bulan dia ditemani isteri Basarah Ahmad, 65 membayar tambang bas sebanyak RM1.90 seorang dari rumah mereka di Pokok Sena ke Hospital Alor Setar atau kini Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk mendapatkan rawatan.

“Saya mempunyai masalah penglihatan, mata kanan saya dibedah pada tahun lalu namun gagal menyebabkan hanya mata kiri saya yang dapat melihat tapi kabur, saya juga mempunyai penyakit batu karang, darah tinggi dan sakit lutut kanan selepas beberapa kali jatuh di dalam kebun getah.

“Pada usia 80 tahun saya masih lagi keluar menoreh getah, namun sejak pembedahan mata saya tidak mampu lagi keluar menoreh, keadaan lutut saya juga  bertambah sakit, saya hanya dapat berjalan beberapa langkah di sekitar kawasan rumah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung KEDA Batu 13 di sini ketika program ziarah calon kerusi Parlimen Pokok Sena Noran Zamani Jamaluddin (Barisan Nasional).

Bercerita lanjut, Hashim berkata kehidupan mereka sekeluarga kini bergantung kepada bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM400 sebulan.

Katanya, bekalan air di rumahnya juga dipotong sejak  setahun lalu iaitu selepas dia melakukan pembedahan mata.

“Saya tinggal bersama isteri dan seorang anak peremuan saya yang turut mengalami masalah penglihatan, ibu mertua saya yang uzur juga tinggal di sini serta adik ipar saya yang mempunyai masalah mental juga tinggal di rumah ini.

“Sekarang kami hanya mengambil bekalan air dari rumah jiran, saya tidak mampu bayar kerana sudah tidak mampu keluar menoreh getah, “katanya.

Bagi anak kepada Hashim, Nor Pahanisha, 30, berkata dia tidak dapat keluar bekerja kerana masalah penglihatan yang dihidapinya sejak kecil.

Katanya, kehidupan mereka ibarat kais pagi makan pagi dan kais petang makan petang.

“Keluarga saya banyak makan nasi dengan ikan masin kerana harga ikan dan ayam sangat mahal ketika ini, jika ada saudara mara, kenalan atau jiran-jiran yang bantu maka kami akan beli ikan atau ayam.

” Saya harap bapa saudara saya yang tinggal bersama kami sekarang akan dapat bantuan JKM, susah hendak bawa dia keluar ke hospital kerana dia takut dengan keadaan di luar sana, begitu juga dengan nenek saya Fatimah Man yang  berusia 84 tahun, dia juga uzur dan tidak mampu berjalan, “katanya.

Sementara itu, Noran Zamani berkata beliau akan membantu berurusan dengan Syarikat Air Daril Aman Sdn.Bhd (SADA) agar rumah Hashim akan mendapat semula bekalan air.

” Saya bersimpati dengan nasib keluarga ini, saya akan bawa masalah mereka ini kepada jabatan berkaitan untuk membantu meringankan beban mereka.

“Insha Allah, rumah ini akan kembali dilengkapi bekalan air selepas saya berurusan dengan SADA, ini kerana air merupakan asas penting untuk kita menjalankan aktiviti harian selain untuk makan dan minum,” katanya.

Bagi orang ramai yang mahu membantu keluarga ini, Nor Pahanisha boleh dihubungi menerusi nombor 01126459893 atau menerusi akaun BSN atas nama Nor Pahanisha (0213041000085151).

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com