Sunday, 5, May, 2024
Utama Negeri Kedah benarkan solat jemaah ikut keluasan masjid

Kedah benarkan solat jemaah ikut keluasan masjid

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR – Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang berkata, semua masjid atau surau dalam Negeri Kedah dibenarkan untuk mendirikan solat fardhu berjemaah dan Solat Jumaat mengikut keluasan masjid.

Menurutnya, kebenaran pengimarahan masjid dan surau di seluruh Negeri Kedah berkuatkuasa pada 19 Jun 2020.

“Beberapa kebenaran terhadap solat jumaat yang perlu dipatuhi adalah bilangan jemaah yang dibenarkan adalah sekurang-kurangnya 40 orang yang memenuhi syarat wajib Jumaat serta jumlah maksimum 60 jemaah berdasarkan keluasan masjid dan kemampuan jawatankuasa kariah namun gugur kewajipan mendirikan solat Jumaat ke atas mana-mana yang tidak tersenarai dalam pelaksanaan solat Jumaat kerana termasuk dalam keuzuran hendaklah menggantikannya dengan solat Zohor.

“Selain itu, semua masjid atau surau dalam Negeri Kedah dibenarkan untuk mendirikan solat fardhu berjemaah dan Solat Sunat Aidiladha 1441H tetapi jumlah jemaah berdasarkan keluasan masjid atau surau mengikut kemampuan ahli jawatankuasa,”katanya pada sidang media hari ini.

Selain itu, aktiviti pengimarahan masjid dan surau seperti pengajian al-Quran dan kuliah agama dibenarkan selepas solat Maghrib dan Subuh yang tidak melebihi 30 minit serta masjid atau surau juga hendaklah menyediakan ruang solat untuk orang yang bermusafir.

“Bagi ibadah korban 1441H, pelaksanaan terhadap ibadah korban adalah dibenarkan tetapi jumlah kehadiran peserta pada satu-satu masa tertakluk kepada kesesuaian kawasan dan tempat dengan menghindari daripada elemen sesak, sempit, dan sembang dekat (3S). Sebarang bentuk majlis jamuan dan kenduri tidak dibenarkan namun agihan daging korban kepada peserta dan fakir miskin boleh dilaksanakan dengan mengamalkan penjarakan sosial,”katanya.

Hadir sama Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah, Mohd. Yusri Md. Daud.

Sementara itu, Mohd. Yusri berkata, pihaknya akan menyediakan pematuhan SOP untuk memastikan semua masyarakat Islam di negeri Kedah dapat mengikuti SOP tersebut ketika mendirikan solat jumaat dan solat fardhu.

“Kebenaran solat Jumaat adalah berdasarkan 2 kategori iaitu masjid negeri seperti Masjid Zahir yang memaksimumkan 80 orang termasuk ahli jawatankuasa masjid manakala masjid kariah atau surau yang membenarkan seramai 60 orang mengikut keluasan masjid,”katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com