Friday, 29, March, 2024
Utama Negeri Maritim rampas 107 bubu naga di Perairan Yan

Maritim rampas 107 bubu naga di Perairan Yan

oleh Ammar Haziq
Anggota Maritim menarik keluar bubu naga yang dijumpai di perairan Yan.

KUALA KEDAH, 23 Disember – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah berjaya merampas 107 set bubu kambang atau bubu naga (China prawn net trap) dalam satu operasi khas yang dilakukan di empat lokasi sepanjang perairan Yan semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti binti Ishak berkata, operasi khas membanteras bubu naga ini dilaksanakan berikutan terdapat rungutan dan aduan yang diterima pihak Maritim Malaysia.

Empat lokasi rampasan bubu naga semalam ialah di sekitar 0.4 batu nautika hingga 0.8 batu nautika merangkumi sekitar Kuala Sedaka hingga ke perairan Kuala Sala.

Semasa rondaan dilakukan, anggota bot ronda Maritim Malaysia telah menemukan pelampung penanda dan pancang yang mencurigakan dipasang pada setiap bubu naga berukuran lebih kurang 10 meter panjang di beberapa lokasi.

Bubu naga yang dirampas dianggarkan bernilai RM12, 840.

Kesemua bubu naga tersebut dirampas dan dianggarkan bernilai RM 12, 840.00 dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah untuk disiasat mengikut Seksyen 11(3)(c) Akta Perikanan 1985.

Maritim Malaysia melihat bahawa penggunaan bubu naga ini perlu dicegah bermula dengan penjualan di darat oleh jabatan berkaitan kerana ianya dijual dengan harga yang murah sekaligus tidak akan memberi kesan ke atas rampasan-rampasan yang dibuat memandangkan penggunanya masih boleh membeli di pasaran semasa.

Nelayan juga diingatkan supaya mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen perikanan yang telah diperuntukan.

Zon Maritim Kuala Kedah tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang dalam kawasan perairan negara dan sentiasa komited dalam meneruskan pengoperasian serta rondaan di sepanjang kawasan tanggungjawab bagi mengekang aktiviti haram di laut.

Zon Maritim Kuala Kedah juga mengalu-alukan aduan mengenai sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut boleh disalurkan melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com