Monday, 25, November, 2024
Utama Negeri Subjek komunikasi dan pengajian media UUM diiktiraf dalam QSWUR by subject 2023

Subjek komunikasi dan pengajian media UUM diiktiraf dalam QSWUR by subject 2023

oleh Ammar Haziq
Kejayaan SMMTC mengharumkan nama UUM.

SINTOK – Buat julung kali, Universiti Utara Malaysia (UUM) menerusi Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC) berjaya menempatkan diri dalam QS World University Rankings (QSWUR) by Subject 2023 menerusi subjek Komunikasi dan Pengajian Media (Communication and Media Studies).

Dalam pengumuman pada 22 Mac lalu, UUM tersenarai di kedudukan 201-250, sekali gus meletakkan universiti ini sebaris dengan universiti terbaik dunia seperti Universitas Indonesia dan University of Canterbury yang memperolehi rating 5 dalam QS Stars.

Naib Canselor, Prof. Dr. Mohd Fo’ad Sakdan berkata, beliau bangga dengan pencapaian yang ditunjukkan pusat pengajian tersebut meskipun baru pertama kali tersenarai.

Menurutnya, ini membuktikan program pengajian yang ditawarkan oleh SMMTC itu adalah berkualiti dan sangat relevan dengan keadaan semasa.

“Syabas saya ucapkan kepada seluruh warga SMMTC khususnya yang telah berusaha bersungguh-sungguh sehingga berjaya menyaingi universiti terbaik dari seluruh dunia untuk berada di tahap ini,” ujar beliau.

Canselor, Prof. Dr. Mohd Fo’ad Sakdan

Sementara itu, Dekan SMMTC, Prof. Madya Dr. Norsiah Abdul Hamid berkata, pencapaian bersejarah tersenarai dalam QSWUR by Subject itu adalah hasil kerja keras seluruh warga universiti khususnya di SMMTC dalam usaha memartabatkan nama UUM di peringkat global.

“Bukan mudah untuk menyaingi banyak universiti-universiti hebat dunia tetapi kita telah membuktikan bahawa UUM mampu melakukannya dengan hasil dedikasi, komitmen dan kesungguhan. Malah, antara faktor utama yang membantu dalam penyenaraian ini juga adalah hasil konsistensi dalam bidang penerbitan.

“Saya berharap kejayaan ini tidak terhenti di sini, sebaliknya akan terus bersama-sama untuk memacu kecemerlangan UUM dan SMMTC di pentas antarabangsa,” katanya.

Pada edisi 2023, QS World University Rankings bagi subjek Komunikasi dan Pengajian Media mengguna pakai empat indikator iaitu reputasi akademik (50 peratus), reputasi majikan (10 peratus), sitasi per penerbitan (20 peratus) dan H-Index (20 peratus).

Penarafan ini meletakkan UUM antara 1,270 universiti terbaik dunia yang dinilai bagi subjek tersebut, seterusnya disenaraikan dalam kalangan 250 universiti yang terpilih.

Subjek lain yang tersenarai dalam QSWUR by Subject 2023 ini ialah Accounting and Finance (151-200), Economics and Econometrics (201-250), Business and Management Studies (201-250) dan Computer Science and Information System (601-650), manakala bidang Social Sciences and Management di kedudukan 266.

Keputusan ini boleh didapati menerusi lawan sesawang https://www.topuniversities.com/university-rankings/university-subject-rankings/2023/communication-media-studies

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com