Sunday, 28, April, 2024
Utama Negeri 25 nelayan tempatan ditahan positif dadah

25 nelayan tempatan ditahan positif dadah

oleh Ammar Haziq

KUALA KEDAH, 4 Disember – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Kota Setar dan Pokok Sena telah melaksanakan Op Bersepadu dalam usaha membanteras aktiviti penagihan dadah dalam kalangan komuniti nelayan di sekitar perairan Kuala Kedah di sini pagi tadi.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah, Komander Maritim Noor Azreyanti binti Ishak berkata, operasi ini melibatkan 39 pegawai dan anggota dari kedua-dua agensi yang melakukan serbuan di jeti-jeti bot sekitar muara Kuala Kedah serta pemeriksaan secara rawak ke atas bot nelayan tempatan yang berada di sekitar perairan berkenaan.

Noor Azreyanti turut berkata, hasil operasi yang dijalankan, seramai 25 orang warga tempatan telah ditahan kerana positif dadah jenis Methaphetamine terdiri daripada tujuh orang lelaki yang ditahan ketika saringan air kencing dijalankan di atas bot-bot nelayan manakala 18 lagi telah ditahan di jeti-jeti bot.

Kesemua mereka yang ditahan berumur dalam lingkungan umur 20 hingga 50 tahun dan telah diserahkan kepada AADK untuk tindakan lanjut.

Noor Azreyanti dalam pada itu turut menegaskan Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang di perairan negara.

Beliau turut menyeru kepada masyarakat setempat untuk menjadi ‘mata dan telinga’ pihak Maritim Malaysia dengan menyalurkan maklumat atau aduan bagi sebarang aktiviti jenayah sertakecemasan di laut dengan menghubungi talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di talian 04-7310579.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com