Friday, 22, November, 2024
Utama Negeri Tunda ikan di zon larangan, bot nelayan ditahan

Tunda ikan di zon larangan, bot nelayan ditahan

oleh Ammar Haziq
Kru, tekong dan bot ditahan bersama ikan campur seberat 600 kilogram telah diiring masuk ke Jeti Maritim Malaysia Bukit Malut untuk siasatan lanjut. FOTO MARITIM

LANGKAWI, 9 Mei – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kedah dan Perlis menahan sebuah bot nelayan tempatan Kelas C di kedudukan kira-kira 5.9 batu nautika barat daya Pulau Segantang di sekitar pukul 12 tengah hari semalam.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli bin Mustafa berkata, penahanan itu dibuat ketika bot ronda Maritim Negeri Kedah dan Perlis sedang melakukan rondaan operasi Op Aman dan Op Tiris di perairan Langkawi.

Bot pukat tunda itu ditahan bersama seorang tekong dan tiga kru kesemuanya warga Thailand lingkungan umur antara 24 hingga 53 tahun di zon larangan perikanan ketika sedang leka melakukan aktiviti menunda (tarik tepi).

Kru, tekong dan bot ditahan bersama ikan campur seberat 600 kilogram telah diiring masuk ke Jeti Maritim Malaysia Bukit Malut untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menjalankan aktiviti memukat di zon larangan iaitu di bawah 5.0 batu nautika dari pantai.

Kegiatan tarik tepi seperti ini sukar dikesan kerana mereka tidak meninggalkan jejak dan kebiasaannya aktiviti tersebut dilakukan ketika bot tersebut ingin melepasi jarak 5.0 batu nautika dari pantai.

Aktiviti menangkap hasil laut kurang 5.0 batu nautika dari pantai boleh menjejaskan keseimbangan ekosistem serta mata pencarian nelayan tradisional yang bergantung hidup di kawasan tersebut.

Maritim Malaysia tidak akan berkompromi terhadap mana-mana nelayan yang melanggar syarat sah lesen.

Sebarang aduan dan maklumat mengenai kegiatan jenayah maritim serta kecemasan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Kedah dan Perlis di talian 04-9662750 atau talian kecemasan MERS 999 untuk tindakan segera.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com