JITRA – Pemilik sebuah kedai runcit di kawasan Tunjang, dekat sini dikompaun RM500 ‘on the spot’ kerana menjual gula putih bertapis kasar pada harga RM11 untuk tiga kilogram (kg).
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup negeri Kedah, Affendi Rajini Kanth, berkata kompaun dikenakan berikutan peniaga tersebut menjual barang harga terkawal melebihi yang ditetapkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).
Menurutnya, satu pemeriksaan khas barang keperluan asas dilakukan ke atas kedai runcit itu jam 11.30 pagi pada Isnin.
“Serbuan dilakukan pegawai penguatkuasa KPDN Kubang Pasu kerana disyaki menjual gula putih bertapis kasar melebihi harga maksimum.
“Peniaga lelaki berusia 30 tahun tersebut didapati menjual gula putih bertapis kasar pada harga RM11 untuk tiga kilogram (kg).
“Harga makslimum yang ditetapkan bagi barangan harga terkawal ialah harga borong RM2.77 manakala harga runcit pula adalah RM2.85 bagi setiap kg. KPDN telah mengeluarkan kompaun secara terus sebanyak RM500,” katanya dalam satu kenyataan.
Pemilik premis perniagaan tersebut disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 11 Akta Kawalan Harga Dan Anti Pencatutan 2011 iaitu Pelanggaran Perintah Kawalan Harga Dan Antipencatutan (Penetapan Harga Maksimum) Gula Pasir Bertapis Kasar Dan Halus. – Kedah Gazette