Saturday, 20, April, 2024
Utama Nasional PM harap LIMA’23 kukuhkan Malaysia sebagai hab serantau industri aeroangkasa, maritim

PM harap LIMA’23 kukuhkan Malaysia sebagai hab serantau industri aeroangkasa, maritim

oleh Ammar Haziq
Anwar (kiri) semasa melawat dan melihat senjata yang dipamerkan pada LIMA’23 di Langkawi pada hari ini.

LANGKAWI – Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA ’23) diharapkan akan mengukuhkan Malaysia sebagai hab serantau bagi industri aeroangkasa dan maritim, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Beliau berkata, penganjuran LIMA akan membolehkan Malaysia  bergerak lebih dekat ke arah merealisasikan Rangka Tindakan Industri Aeroangkasa Malaysia (MAIB) dan Pelan Induk Perkapalan Malaysia.


“Saya mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada kedua-dua menteri peneraju bersama LIMA ’23, Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Pengangkutan Anthony Loke, serta pasukan masing-masing yang memacu inisiatif ini. 


“Saya juga mahu memuji Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang dan pasukannya, khususnya Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) kerana berjaya menerajui buat julung kalinya SpaceTech Nexus di LIMA tahun ini,” katanya pada ucapan alu-aluan sempena LIMA ’23, hari ini.


Menurutnya yang juga Menteri Kewangan, SpaceTech Nexus membuktikan LIMA ’23 adalah acara berfokuskan masa depan dan selain bersedia memainkan peranan dalam pertumbuhan teknologi angkasa yang dijangka mencapai nilai pasaran global US$10 trilion menjelang 2030.


Anwar juga berkata, LIMA ’23 kini telah mengukuhkan kedudukannya sebagai acara yang merangkumi sektor aeroangkasa dan maritim dari aspek ketenteraan dan awam.

Perdana Menteri turut memberi penghargaan atas sokongan daripada pelbagai rakan kongsi yang telah menyumbang kepada kejayaan penganjuran acara dwitahunan berprestij itu.

“Menakjubkan dalam tahap sokongan dan pengiktirafan yang diberi kepada Malaysia dan saya juga harus menggunakan kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada rakan-rakan kita dari negara-negara yang mengambil bahagian dalam majlis ini untuk mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan kita,” ujar beliau. – Kedah Gazette

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com