KUALA KEDAH – Kerja-kerja menaik taraf Terminal Jeti Kuala Kedah akan bermula pada hujung tahun ini sebelum dijangka siap sepenuhnya pada 2026, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook.
Menurutnya, selepas beberapa tahun tertangguh, tender projek itu akan diiklankan pada 6 Jun ini melibatkan kerja meroboh, membina, menaik taraf terminal dan jeti penumpang, kargo serta feri roll-on roll-off (RORO).
“Projek ini dijangka siap dalam tempoh 36 bulan dari tarikh pemilikan oleh kontraktor projek bagi meningkatkan kecepatan pengoperasian feri penumpang dan perkhidmatan Roro di laluan marin kuala kedah ke pulau langkawi dimana ia membantu pemulihan industri perlancongan di permata kedah.
“Skop pertama projek ini melibatkan kerja-kerja meroboh dan membina terminal baru berkonsepkan teknologi hijau yang mampu menampung sebanyak 3,000 orang penumpang berbanding kapasiti sedia ada sebanyak 800 orang penumpang sahaja,”katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan di Terminal Jeti Kuala Kedah, dekat sini pada hari ini.
Jelasnya, projek naik taraf tersebut bakal melibatkan pembinaan tempat letak kereta bertingkat dengan anggaran 420 lot serta infrastruktur, fasiliti bangunan dan kerja landskap.
“Kelewatan projek naik taraf ini sepatutnya bermula pada 2020 ianya disebabkan isu teknikal selain penularan pandemik Covid-19 ketika itu,” ujar beliau.
Menurutnya, operasi pengangkutan feri di Kuala Kedah akan dipindahkan sementara ke tapak bersebelahan terminal berkenaan ketika kerja-kerja naik taraf dilakukan.
Dalam perkembangan sama, Anthony menafikan projek berkenaan adalah gula-gula untuk penduduk Kedah menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan tidak lama lagi.