Friday, 29, March, 2024
Utama Nasional Isu Pulau Pinang milik Kedah : Sanusi perlu beli, baca buku perlembagaan

Isu Pulau Pinang milik Kedah : Sanusi perlu beli, baca buku perlembagaan

oleh Ammar Haziq
Anthony (kanan) dan Saifuddin pada sidang media pada Selasa.

SUNGAI PETANI – Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dicadangkan membeli dan membaca buku perlembagaan bagi memahami perjalanan Malaysia yang mempunyai 13 buah negeri termasuk Pulau Pinang.

Menurut Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, Menteri Besar Kedah itu sepatutnya memahami prinsip Rukun Negara di antaranya Keluhuran Perlembagaan.

“Dalam segala apa perjalanan negara kita dari segi pentadbiran, politik dan struktur kerajaan mesti berpandukan kepada Perlembagaan Persekutuan. Bab ini kalau belajar (subjek) Pengajian Am, Tingkatan Enam yang pernah belajar mesti dia reti. Kalau tak dia tak lepaslah Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) sebab Perlembagaan Persekutuan itulah yang akan memandu perjalanan sesebuah negara.

“Dalam Perlembagaan Persekutuan kita ada 13 buah negeri. Kalau Menteri Besar Kedah tak faham saya cadangkan dia beli dan baca balik Perlembagaan Persekutuan kita ada tiga belas negeri termasuk Pulau Pinang,” kata Menteri Pengangkutan itu.

Beliau berkata pada sidang media selepas melancarkan Program MyLesen B2 Peringkat Kebangsaan di sebuah hotel di Sungai Petani, pada Selasa.

Anthony mengulas laporan media, Muhammad Sanusi mendakwa Kedah dan Pulau Pinang tidak ada sempadan kerana Pulau Pinang masih hak Kedah.

Muhammad Sanusi berkata pihaknya tidak perlu mengambil kembali negeri itu kerana Pulau Pinang tidak pernah ‘terlepas’ dari Kedah.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pula berkata, beliau jarang berjumpa dengan seorang Menteri Besar yang suka mencetuskan kontroversi yang tidak perlu.

Menurutnya, isu antara Kedah dan Pulau Pinang sudah pun selesai di peringkat kerajaan Persekutuan dan setiap pihak perlu bergerak ke depan daripada membangkitkan perkara yang tidak perlu.

“Benda-benda ini telah pun diuruskan oleh pendiri negara kita dalam tempoh yang sudah pun sekian lama, saya pun rakyat Kedah pernah jadi wakil rakyat Kedah, faham tentang sejarah Kedah. Menteri Besar silih berganti.

“Saya jarang sangat dengar menteri besar, ulas benda-benda sebegini daripada bangkit soal Pulau Pinang hak Kedah, isu pampasan nak sekat ayaq (air), saya fikir sampai masa rakyat Kedah celik bahawa kita perlu kepada pemimpin yang mengambil berat soal rakyat daripada nak mencetuskan kontroversi dan perkara yang tak perlu,” ujar beliau.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com