KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata kerajaan bakal meluncurkan beberapa dasar negara yang lebih kental dan ampuh bagi mendepani cabaran dunia.
Menurut beliau, dasar itu merangkumi Pelan Perindustrian Negara yang akan dilancarkan pada Ogos ini, Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) pada akhir September dan Belanjawan MADANI kedua pada Oktober.
Jelas Anwar, dasar negara berkenaan amat dituntut, bagi mendepani dunia yang masih bergelut dengan adu kuasa dan peperangan; kerancakan perdagangan ekonomi sejagat kian terbantut dan krisis iklim serta persekitaran berada di tahap genting.
“Dalam semua kerangka besar yang bakal diluncurkan, akan menjadikan landasan tatakelola yang baik, telus dan bertanggungjawab,” katanya ketika merafak sembah ucapan tahniah pada Istiadat Menghadap dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan di Istana Negara 2023 di sini hari ini.
Istiadat berkenaan berlangsung bersempena sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.