Sunday, 28, April, 2024
Utama Negeri Pesawah minta henti bertelagah fokus atasi masalah  penguatkuasaan kartel

Pesawah minta henti bertelagah fokus atasi masalah  penguatkuasaan kartel

oleh Ammar Haziq
Dari kanan, Abdul Rashid dan Che Ani menunjukkan hasil padi yang merosot pada tahun 2022.

KUBANG PASU – Pesawah di negara ini memohon pemimpin di peringkat negeri dan Persekutuan memberikan tumpuan kepada masalah dihadapi mereka bagi menghadapi masalah  penguatkuasaan kartel yang pernah dibangkitkan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor pada tahun lalu.


Exco Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (Pesawah), Abdul Rashid Yob berkata, isu tersebut sudah sekian lama membelenggu industri pertanian namun gagal ditangani kerana tiada keazaman politik tinggi dalam kalangan pemimpin.
Jelasnya, isu itu tidak akan mampu dihentikan jika tiada kerjasama antara kedua-dua pihak baik di peringkat negeri mahupun Persekutuan.


“Bagi saya apabila kita bercakap bab kartel ini, jangan hanya ‘melontar’ sebaliknya ia perlu diserta dengan tindakan. Kerajaan negeri ada peranan untuk dimainkan dan kerajaan Persekutuan memiliki banyak agensi yang perlu bertindak memerangi kartel antaranya  Kawalselia Padi Dan Beras dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) serta Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC). 


“Kalau kita hanya bercakap untuk mendapatkan keuntungan politik tetapi tidak bertindak. Maka tak ke manalah usaha ini kerana tindakan perlu dilakukan secara menyeluruh sama ada di pihak negeri mahu pun Pusat,” katanya pada sidang media di Kampung Megat Dewa, pada isnin.


Sementara itu Pengerusi Badan Bertindak Petani Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Che Ani Mat Zain pula tidak menolak kemungkinan penglibatan kartel dalam industri berkenaan.


Menurutnya, masalah bekalan benih padi selalu terjadi antaranya tidak mencukupi serta kurang berkualiti selain gagal diselesaikan sejak sekian lama.


“Isu padi benih ini melibatkan hasil pengeluaran padi dan keterjaminan makanan negara. Sepatutnya kerajaan ambil langkah segera bagi menyelesaikannya kerana hasil pengeluaran padi dalam kawasan MADA juga merosot dari lebih sejuta tan metrik pada 2018 kepada cuma 852,477 pada 2022. 


“Keadaan itu diburukkan lagi dengan kejatuhan nilai ringgit ketika ini yang tentunya membuatkan negara terpaksa berbelanja lebih besar bagi mengimport beras. Maka kami seru kerajaan negeri dan Persekutuan agar berganding bahu bagi menyelesaikan masalah ini,” kata beliau.


Pada 18 Mei 2022, Muhammad Sanusi mengeluarkan kenyataan mengenai kemungkinan terdapat kartel di Kedah memandangkan purata hasil padi di negeri ini masih rendah dan mencurigakan sejak sekian lama dengan beliau berazam mahu memeranginya secara habis-habisan.

Namun pada kelmarin, Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Mahfuz Omar meminta Muhammad Sanusi mengemukakan bukti berkenaan dakwaan tersebut selain menegaskan bahawa, Menteri Besar itu harus mengenengahkan isu berkenaan ke saluran tepat dan bukan menjadikannya ucapan di khalayak ramai.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com