KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mempengerusikan Mesyuarat Majlis Sains Negara yang menjadi satu platform perbincangan bagi menetapkan hala tuju dan dasar sains, teknologi dan inovasi negara.
Beliau berkata selain kerajaan, mesyuarat itu turut melibatkan pihak industri dan akademia.
Katanya, antara perkara yang disinggung adalah berkaitan pembangunan teknologi dan ekonomi hidrogen melalui Pelan Teknologi dan Ekonomi Hidrogen (HETR).
“Sementelahan Teras Ketiga Malaysia Madani untuk membudayakan Daya Cipta, maka saya tegaskan, HETR adalah antara usaha kerajaan bagi kesejahteraan rakyat.
“Pastinya, hidrogen bakal menjadi satu daripada sumber tenaga baharu yang lebih cekap bagi menambah baik kehidupan harian rakyat,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Anwar berkata mesyuarat juga mengambil maklum mengenai Akta Lembaga Angkasa Malaysia (Akta 834) dan penubuhan Bahagian Penguasa Angkasa.
Katanya akta dan penubuhan Bahagian Penguasa Angkasa ini bukan sahaja istighlal dan penting untuk melindungi kepentingan dan maslahat rakyat, malah amat mustahak bagi memelihara kedaulatan negara.