Friday, 22, November, 2024
Utama Nasional Anwar tidak kisah ambil langkah flip-flop asalkan dapat bantu rakyat

Anwar tidak kisah ambil langkah flip-flop asalkan dapat bantu rakyat

oleh Ammar Haziq
YAB Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim menghadiri Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-15 di Parlimen Malaysia, Kuala Lumpur, 19 Disember 2022. – SADIQ ASYRAF/Pejabat Perdana Menteri

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak kisah mengambil langkah ‘flip-flop’ atau tunggang-terbalik seperti anggapan pembangkang asalkan dapat membantu meringankan beban rakyat.

Jelas beliau, segala keputusan yang diumum sebelum ini adalah mengikut proses namun selepas diteliti membebankan rakyat, maka Ia wajar diubah untuk membantu rakyat.

Bagaimanapun katanya, tidak semua keputusan dibuat tunggang-terbalik dengan mengambil contoh
keputusan kerajaan meneruskan pemberian subsidi ayam dan telur serta biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang diumum baru-baru ini.

Keputusan itu sebaliknya adalah dasar baharu di bawah Kerajaan Perpaduan.

“Keputusan JPA (menghentikan biasiswa) ini keputusan lama. Ada rekod. Saya hadir mesyuarat JPA, memang ada keputusan lama untuk mengkaji semula dan menghentikan (biasiswa).

“Yang diumumkan itu keputusan lama. Apabila saya mempengerusi mesyuarat JPA, keputusannya saya buat ialah sambung biasiswa.

Begitu juga tentang ayam dan telur. Keputusan subsidi habis Jun, itu keputusan lama dan kementerian hanya umumkan keputusan (lama). 

“Selepas merujuk kepada Menteri kewangan dan Perdana Menteri, saya kata sambung subsidi. Pengumuman ini bukan flip-flop. Keputusan lama diumum ikut prosesnya tetapi apabila dimaklum kepada saya dan diteliti balik, ini akan membebankan rakyat, raya haji dekat. Kita tolonglah rakyat.

“Kalau pun flip-flop, untuk bantu rakyat saya akan flip-flop. Buat apa tidak mahu flip-flop tapi bebankan rakyat,” katanya semasa Waktu Pertanyaan Perdana Menteri (PMQT) di Dewan Rakyat hari ini.

Isu flip-flop timbul apabila Datuk Dr. Zulkafperi Hanapi [PN-Tanjong Karang] meminta Perdana Menteri menjelaskan keputusan kerajaan yang bertukar-tukar, antaranya isu pemberian subsidi ayam dan telur serta biasiswa JPA dalam bidang perubatan, pergigian dan farmasi.

Kenyataan sebelum itu mengatakan subsidi ayam dan telur akan berakhir pada 30 Jun serta biasiswa JPA bagi bidang perubatan, pergigian dan farmasi dihentikan, adalah berdasarkan keputusan lama yang dibuat ketika pentadbiran lalu.

Dalam, jawapan bertulis di Dewan Rakyat, minggu lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, (Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, JPA menghentikan tajaan kepada pelajar bidang perubatan, pergigian dan farmasi berikutan permintaan terhadap tenaga kerja dalam bidang itu sudah mencukupi. 

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, pihaknya sedang berbincang dengan JPA berhubung keputusan menghentikan penajaan itu dan sedia mengkaji semula kajian dilakukan pada 2019 yang mendapati bekalan pegawai perubatan akan mengalami kebanjiran mulai 2026 hingga 2030.

Anwar pada Ahad lalu kemudian memberi jaminan JPA akan meneruskan pemberian biasiswa kepada pelajar yang melanjutkan pengajian dalam berkenaan dan keputusan menghentikan tajaan di bawah JPA adalah dasar kerajaan terdahulu.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com