Sunday, 28, April, 2024
Utama Nasional Kerajaan tambah elaun pelajar tajaan JPA dalam negara RM100 sebulan-PM

Kerajaan tambah elaun pelajar tajaan JPA dalam negara RM100 sebulan-PM

oleh admin

BANGI: Elaun Sara Hidup (ESH) kepada pelajar tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam negara dinaikkan sebanyak RM100 berkuat kuasa pada 1 Julai 2023.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil kira kos sara hidup yang tinggi sekali gus membebankan golongan mahasiswa.

Katanya, penambahan itu menjadikan tambahan peruntukan RM1,200 bagi tempoh setahun untuk setiap pelajar.

“Tapi belanjalah dengan berhemah, jangan membazir, jangan hisap vape.

“Kena fikir, kena halal. Saya tolong itu kerana fikir saudara (pelajar) susah…susah nak makan, nak beli buku. Kalau buat yang tak betul itu…” katanya.

Perdana Menteri turut mengumumkan kenaikan 15 peratus kadar ESH bagi pelajar tajaan JPA di luar negara.

Bagaimanapun, pelajar Ijazah Pertama di United Kingdom (UK) dikecualikan daripada kenaikan itu kerana elaunnya telah dinaikkan pada 7 November 2022.

“Kenaikan kadar ESH ini melibatkan pertambahan implikasi kewangan dengan anggaran sebanyak RM52.03 juta bagi tempoh enam bulan mulai Julai 2023 yang akan memanfaatkan 43,595 orang pelajar tajaan JPA,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Cakna Madani Perdana Menteri bersama pelajar tajaan JPA di institusi pendidikan tinggi di Dewan Canselor Tun Abdul Razak, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini, hari ini.

Turut hadir Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Timbalannya, Datuk Mohammad Yusof Apdal; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Datuk Zulkapli Mohamed.

Dalam pada itu, Anwar berkata, kerajaan turut memutuskan untuk menambah peruntukan membabitkan elaun pelajar tajaan JPA di luar negara.

Acara yang dihadiri lebih 2,500 pelajar tajaan JPA daripada universiti awam dan swasta itu turut disertai mahasiswa luar negara, secara dalam talian.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com