FOTO KDA FC
PETALING JAYA – Biarpun berjaya menewaskan PDRM FC 0-2 pada aksi Liga Super 2023 pada malam Ahad, Pengendali Kedah Darul Aman (KDA) FC melihat kelabnya itu bukan beraksi pada tahap sebenar.
Menurutnya, walaubagaimanapun biar tetap berpuas hati dengan kejayaan anak buahnya meraih tiga mata penting bagi memastikan mereka terus kekal berada pada kelompok empat pasukan terbaik.
“Bagi saya kita bukan main terlalu teruk, kita bermain baik cuma bukan di tahap sebenar kita dengan intensiti tinggi dan rancak.
“Tahniah juga kepada PDRM kerana bermain dengan baik dan menyukarkan kami untuk bermain, pada separuh masa pertama kita agak perlahan terutama dari segi hantaran ke depan dan kombinasi di bahagian serangan,” katanya pada sidang akhbar selepas perlawanan tamat.
KDA FC terpaksa menunggu sehingga minit ke-80 untuk memperolehi gol pertama menerusi sepakan penalti yang disempurnakan oleh penyerang baharu, Ifedayo selepas bola terkena tangan pemain tuan rumah.
Sang Kenari meneruskan momentum dengan jaringan kedua juga menerusi sepakan penalti yang disempurnakan sendiri oleh Lee Tuck untuk kedudukan 0-2 selepas dia dijatuhkan pemain lawan di dalam kotak penalti pada minit ke-89.
Mengulas lanjut, Nafuzi berkata, dua pemain import baharunya iaitu Ifedayo dan Moses masih memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan taktikal pasukan tersebut dan mampu ditingkatkan lagi pada perlawanan seterusnya.
“Ifedayo sudah lama tidak beraksi secara kompetitif tetapi pada malam ini beliau bermain selama 90 minit jadi itu adalah petanda yang baik.
“Moses pula bagi saya memerlukan masa untuk kerana beliau baru saja berlatih dengan kami beberapa hari, dan mungkin caranya bermain dengan pasukan sebelum ini berbeza,” ujar beliau.