Thursday, 9, May, 2024
Utama Nasional Kerajaan tumpu naik taraf klinik kesihatan

Kerajaan tumpu naik taraf klinik kesihatan

oleh admin

JITRA:Kerajaan memberikan tumpuan terhadap usaha menaik taraf klinik kesihatan serta sekolah daif di negara ini dalam usaha meningkatkan mutu pendidikan dan kesihatan negara.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata usaha menyelesaikan segera isu kemudahan kesihatan dan sekolah daif di seluruh negara perlu dilakukan demi menjamin kebajikan rakyat dalam memenuhi keperluan pendidikan dan kesihatan mereka.

“Tahun ini juga RM1.4 bilion selesaikan semua (baiki tandas, bumbung dan dinding sekolah daif) yang mana JKR (Jabatan Kerja Raya) buat, PPD (Pejabat Pendidikan Daerah) buat…tetapi jangan bagitahu saya tak boleh baiki tandas di semua sekolah di negara kita termasuk di negeri Kedah.

“Di daerah Kubang Pasu kalau ada sekolah tandas yang tak dibaiki, perlukan peruntukan lagi, bagitahu pejabat daerah dan pejabat daerah boleh hubungi saya, tak cukup (peruntukan) kita tambah dan selesaikan masalah tandas di sekolah ini,” katanya.

YouTube player

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis ramah mesranya bersama warga masyarakat daerah Kubang Pasu di tapak pembinaan Masjid Changlun baharu di sini semalam.

Anwar berkata di Kedah, kerajaan memperuntukkan RM10.1 juta untuk pembaikan 40 klinik kesihatan dan enam sekolah daif daripada jumlah keseluruhan peruntukan Rolling Plan (RP3) Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di negeri itu.

“Di daerah Kubang Pasu, kerajaan memperuntukkan sebanyak
RM1.25 juta bagi kerja pembaikan empat buah klinik dan sebanyak RM300, 000 lagi peruntukan bagi pembaikan sebuah sekolah daif,” katanya.

Sementara itu, Perdana Menteri mengulangi pendiriannya bahawa Kerajaan Perpaduan yakin dapat menoktahkan kemiskinan tegar dengan membantu 130,000 ketua isi rumah (KIR) keluar daripada permasalahan itu pada tahun ini.

Beliau berkata, Kedah mencatatkan bilangan Miskin Tegar sebanyak 11,742 ketua isi rumah (KIR) dengan bilangan Miskin Tegar adalah sebanyak 1,589 KIR di Kubang Pasu.

Sehubungan itu, Anwar meminta agensi Kerajaan Persekutuan dengan kerjasama Kerajaan Negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil tindakan yang sewajarnya bagi mencapai matlamat berkenaan.

“Saya kata noktahkan kemiskinan tegar, nak hapuskan kemiskinan ambil masa, tetapi kemiskinan tegar ini makna kata susu anak tidak ada, pakaian tidak cukup, nak hantar anak pergi sekolah tidak ada duit, suruh anak berhenti (sekolah) sebab tak cukup makan.

“…noktahkan kemiskinan tegar 130,000 keluarga…sebab itu bila saya di Parlimen ada orang bantah, ‘mana boleh buat, cakap saja’, tak apa saya kata Insya-Allah, sebelum akhir tahun ini 130,000 ini mesti kita bantu dengan segala jentera yang ada,” katanya.

Terdahulu, Anwar menyerahkan replika cek peruntukan tambahan Sebanyak RM3.07 juta untuk pembinaan Masjid Baharu Changlun.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com