Friday, 22, November, 2024
Utama Politik Politik dimainkan menteri Madani hanya menggali kubur sendiri – PAS Kedah

Politik dimainkan menteri Madani hanya menggali kubur sendiri – PAS Kedah

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR – PAS Kedah berpandangan politik yang terus dimainkan oleh kepimpinan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) sedang memakan diri sendiri tanpa mereka sedari. 

Pesuruhjaya PAS Kedah, Datuk Ahmad  Yahaya mendakwa, satu demi satu fitnah yang cuba dihamburkan kepada Menteri Besar Kedah, Datum Seri Muhammad Sanusi Md Nor direncanakan bagi menjatuhkan reputasi cemerlang beliau ketika ini.

Ironinya, situasi sebaliknya berlaku. Fitnah tersebut sedang menggali perkuburan PHBN dengan lebih dalam.

“Segala tohmahan dan fitnah yang ditujukan kepada kepimpinan Menteri Besar Kedah telah dijawab balas dan ia menggambarkan Menteri Madani tidak tahu selok belok pentadbiran. 

Seluruh Kementerian Kerajaan Persekutuan dan kepimpinan PHBN dikerahkan untuk menjatuhkan imej serta karakter seorang Menteri Besar di sebuah negeri. Sangat tragis sekali apabila bukan sahaja perancangan mereka gagal bahkan sokongan kepada YAB Sanusi pula semakin melonjak naik,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Menurutnya, naratif ‘Sanusi tidak berbuat apa-apa’ sebenarnya membuka cerita era pemerintahan sebelumnya yang sekadar menangguk di air keruh.

“PAS Kedah menegaskan gelombang rakyat khususnya anak muda untuk menolak PHBN semakin dahsyat dan sukar untuk dibendung. Malah, tidak mustahil negeri-negeri selesa PHBN suatu ketika bakal merebah ke bumi untuk diambil alih oleh Perikatan Nasional. 

“PAS Kedah yakin PHBN tidak ada modal lain yang lebih kuat untuk diketengahkan dalam PRN kali ini. Malah, ‘poster boy’ mereka sendiri tidak terlawan dengan aura yang dibawa oleh YAB Sanusi,” ujarnya.

Tambahnya, PHBN juga semakin hilang keyakinan terhadap ‘poster boy’ mereka sehingga memaksa seluruh Menteri Madani turun beraksi di negeri Jelapang Padi ini.

“InsyAllah rakyat di keenam-enam negeri khususnya Negeri Kedah sudah pun bersedia untuk memastikan PHBN tersungkur menyembah bumi dan YAB Sanusi sedang memimpin kebangkitan ini,” katanya lagi.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com