PUTRAJAYA – Malaysia memuji tindakan Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC) meluluskan resolusi menangani kebencian agama susulan insiden membakar Al-Quran yang berlaku di Sweden, baru-baru ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, bagaimanapun amat malang apabila ada antara negara anggota yang tidak bersetuju kononnya atas hak kebebasan bersuara walaupun langkah progresif ini diambil bagi menentang Islamofobia.
Kata beliau, penggunaan kebebasan bersuara yang memalukan sebagai perisai, menyebabkan ia terdedah kepada pencabulan dalam membenarkan kebencian dan kekejaman daripada menentang kezaliman.
“Api kebencian menyembunyikan perbuatan keji mereka di sebalik topeng kebebasan bersuara seperti yang ditunjukkan oleh negara anggota yang tidak bersetuju.
“Sama seperti kita menolak keterlaluan totalitarianisme, tanggapan ekstremis tentang kebebasan adalah sama-sama merugikan masyarakat, yang boleh membawa kepada pelanggaran terhadap keselamatan dan hak orang lain untuk hidup,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Resolusi itu turut mengandungi gesaan semua negara untuk menguatkuasakan undang-undang bagi menangani, mencegah dan mendakwa sebarang tindakan serta sokongan yang mendorong kebencian agama, sekali gus mencetuskan diskriminasi dan keganasan.
Resolusi berkenaan diusulkan oleh Pakistan yang mewakili Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dengan 28 daripada 47 negara anggota UNHRC mengundi menyokong draf resolusi berkenaan, termasuk Malaysia, China, Ukraine dan sebahagian besar negara Afrika.