Friday, 3, May, 2024
Utama Politik Kes Sanusi : BN Kedah tidak masuk campur

Kes Sanusi : BN Kedah tidak masuk campur

oleh Ammar Haziq

LANGKAWI – Barisan Nasional (BN) Kedah mengambil pendirian tidak mencampuri kes membabitkan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor termasuk kes mahkamah yang dihadapinya.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, perkara itu diserahkan kepada tanggungjawab pihak berkuasa dan pihaknya tidak berniat untuk mencampuri urusan tersebut walaupun tidak menggemari tingkah laku Muhammad Sanusi sebelum ini.

“Saya dah sebut dalam ucapan saya, kenyataan media saya pun bahawa jika ada benda yang sepatutnya tak selesai contohnya unsur nadir bumi (REE) di Sik, maka kerajaan negeri patut membuat penjelasan.

Kerajaan negeri kena jelaskan apa status kedudukan REE. Tapi sekarang apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah buat kenyataan semalam, kita serahkanlah kepada pihak berkuasa.

Macam itu juga di bawah Akta Hasutan yang melibatkan raja-raja, mahkamah sudah uruskan perkara ini, jadi kita serahkan kepada mereka”.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan Jentera Pilihan Raya Perpaduan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) Langkawi di Dewan Orang Ramai, Desa Keda Wang Tok Rendong, di sini.

Ditanya adakah Perikatan Nasional (PN) perlu menukar atau merehatkan Ketua Pengarah Pilihan Raya mereka yang telah dituduh di mahkamah, Mahdzir berkata PN mempunyai hak untuk berbuat demikian.

Semalam, Muhammad Sanusi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Selayang atas tuduhan mengeluarkan kenyataan menghasut.

Beliau didakwa mengeluarkan kenyataan mempunyai kecenderungan menghasut yang boleh menimbulkan rasa tidak setia terhadap mana-mana raja pada pada pukul 11 malam, 11 Julai lalu di simpang empat Taman Selayang Mutiara, Kuala Lumpur.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com