KUALA TERENGGANU – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi mendakwa bahawa wujudnya komplot untuk menjatuhkan kerajaan.
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata, Kerajaan Perpaduan yang dipimpininya juga tidak mengizinkan mana-mana pihak untuk mencuri wang atau menghukum sesiapa sewenang-sewenangnya.
“Ada usaha yang bangkit untuk jatuhkan Kerajaan Perpaduan. Kerajaan Perpaduan yang saya pimpin, tidak mengizinkan orang curi duit, tak izinkan orang hukum sewenang wenang.
“Masih tetap Islam. Masih tetap jaga kepentingan Melayu dan Bumiputera. Jadi, tidak adillah untuk memfitnah seolah-olah kita tinggalkan Islam dan tinggalkan agama dan hanya kelompok tertentu saja jaga Islam dan agama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis Karnival Sahabat Usahawan Madani Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), malam tadi.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut meminta pengurusan AIM untuk mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pendidikan untuk mencari jalan tambahan untuk meningkatkan minat anak-anak dalam Matematik dan Sains menerusi kursus tambahan.