KUALA LUMPUR:Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan beliau hanya bersetuju meluluskan pengambilan sebahagian daripada 15,000 pekerja asing bagi memenuhi permintaan tiga sektor perniagaan iaitu kedai gunting rambut, tekstil dan emas.
Katanya, keputusan itu dibuat bagi memberi peluang kepada kaum India negara ini khususnya anak muda untuk bekerja dalam sektor berkenaan.
Justeru, beliau mengarahkan Kementerian Sumber Manusia untuk menyediakan Latihan Teknikal dan Vokasional Malaysia (TVET) supaya bakat dari kaum berkenaan boleh dibekalkan terus untuk mengisi kesenjangan tiga sektor berkenaan.
“Jadi kita bagi kelulusan oleh kerana kedai gunting (rambut) minta juga, saya bagi (Menteri Sumber Manusia) V Sivakumar bagilah sikit (pekerja asing), termasuk restoran. Tetapi saya tak mahu bagi penuh sebab kita cari jalan biar melalui TVET atau modal TEKUN. Kita cari jalan bagi modal (buat perniagaan).
“Bagi mereka latihan sebab sekarang orang muda bukan mahu gunting macam dulu. Sekarang kita bagi latihan dan saya ingat melalui TVET baik untuk (bekerja di) restoran, gunting rambut dan tekstil.
“Oleh kerana keperluan segera untuk tiga kategori ini, kita luluskan tetapi tidak sepenuhnya.
Saya minta dalam mesyuarat menteri pada Jumaat ini. Menteri akan bawa kertas supaya kita luluskan sebahagian (permintaan) untuk tiga kategori ini.
“Tetapi syaratnya, kementerian akan pastikan kita ada latihan dan insentif untuk pastikan anak kita dilatih serta boleh bekerja,” katanya ketika berucap melancar program Lestari Niaga@Kuala Lumpur di Medan Selera Madani Kompleks Tun Sambanthan di sini semalam.
Turut hadir Sivakumar; Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Kamarulzaman Mat Salleh.
Terdahulu dalam program sama, Sivakumar dalam ucapannya berkata, tiga sektor yang dibekukan sejak 2019 adalah perniagaan tradisi orang India.
Setelah pengambilan pekerja asing untuk sektor berkenaan dibekukan, Sivakumar berkata ia mencetuskan masalah kekurangan tenaga kerja terutama tenaga kerja yang memerlukan kemahiran tertentu dalam tiga sektor terbabit.
Oleh kerana dibekukan maka mereka tak ada peluang untuk bawa pekerja asing dan perkara ini dibawa ke perhatian saya sejak awal tahun ini.
“Saya juga bawa ke perbincangan dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang secara prinsipnya…kedua-dua menteri bersetuju untuk kita membuka semula sektor ini.
“Tetapi ia memerlukan satu proses yang perlu dijalani sebelum ia boleh dibuka semula. Dalam satu mesyuarat yang diadakan bersama Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan KDN, perkara ini telah dibincangkan secara panjang lebar dan akhirnya satu kertas memorandum kepada Kabinet telah disediakan dan akan dibawa dalam perbincangan Kabinet akan datang.
“Saya akan menyokong sepenuhnya supaya tiga sektor ini dibuka semula kerana permintaan dibuat oleh perniagaan ini bukanlah ramai. Kalau kita lihat sektor tekstil permintaan dalam lingkungannya 6,000 orang, gunting rambut dalam lingkungan 6,000 orang dan kedai emas dalam lingkungan 3,000 orang. Jumlah tiga sektor ini sebanyak 15,000 orang (pekerja asing),” katanya.