Friday, 22, November, 2024
Utama Nasional Malaysia-Kanada mahu tingkat hubungan dua hala ke tahap lebih tinggi – PM Anwar

Malaysia-Kanada mahu tingkat hubungan dua hala ke tahap lebih tinggi – PM Anwar

oleh admin

JAKARTA – Malaysia dan Kanada bersetuju untuk terus mengukuhkan dan membawa kerjasama dua hala dua negara tersebut ke tahap yang lebih tinggi.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam catatan terbaharu di laman X berkata, persetujuan tersebut dicapai dalam pertemuan dengan Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau di sini, pada Rabu.

“Ruang lingkup yang ada pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-43 dan Sidang-sidang Kemuncak berkaitan di Jakarta ini turut digunakan bagi mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatan saya TYT Justin Trudeau.

“Dalam pertemuan kali pertama kami ini, persetujuan dicapai untuk terus memperkukuh kerjasama dua hala antara Malaysia dan Kanada, terutama dalam perdagangan dan pelaburan, pertahanan, pendidikan, hubungan sesama insan serta bidang-bidang baharu termasuk ekonomi hijau, sains dan teknologi, serta kecerdasan buatan menerusi Strategi Indo-Pasifik Kanada,” katanya lagi.

Sewaktu Persidangan Kemuncak ASEAN-Kanada, yang dipengerusikan Presiden Indonesia, Joko Widodo, Anwar turut menyaksikan pelancaran Perkongsian Strategik ASEAN-Kanada.

Sewaktu memberi ucapan pencelahan, beliau berkata, kedua-dua pihak meneruskan rundingan membina ke arah memuktamadkan Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-Kanada, yang dijadualkan pada tahun 2025.

Bagi menangani kesan krisis makanan dan tenaga, beliau mencadangkan agar kedua-dua ASEAN dan Kanada untuk meneruskan pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan, teknologi digital, serta menggalakkan pertukaran para pakar dalam bidang-bidang yang berkenaan.

Selain itu, Anwar berkata, beliau turut menyeru negara-negara maju untuk menerajui dalam memberi sokongan kepada negara-negara membangun dalam tindakan iklim.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com