Wednesday, 15, May, 2024
Utama Nasional ASEAN perlu manfaat kepakaran Jepun, Korea Selatan dalam teknologi tenaga – PM Anwar

ASEAN perlu manfaat kepakaran Jepun, Korea Selatan dalam teknologi tenaga – PM Anwar

oleh admin

JAKARTA – Malaysia mengalu-alukan pengukuhan dan peningkatan kerjasama di antara ASEAN bersama Jepun dan Korea Selatan, terutamanya dalam bidang teknologi hijau, teknologi digital, serta tenaga bersih.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, hubungan dan pemindahan teknologi antara ASEAN dengan Korea Selatan sebagai contoh, boleh dimanfaatkan sebaik mungkin meningkatkan lagi ekonomi dan kemakmuran rakyat di rantau ini.

Beliau berkata, di Malaysia sebagai contoh, Rangka Kerja Ekonomi Madani turut menekankan tentang kepentingan penggunaan teknologi bagi memperkasa dan memberdaya perubahan syarikat kecil dan sederhana (SME) ke arah penggunaan modul perniagaan digital.

“Kami menekankan kepentingan perkembangan teknologi hijau, kemampanan iklim, serta mengoptimum penggunaan tanah bagi tujuan keterjaminan makanan, dengan mengutamakan pelepasan karbon rendah serta pembangunan iklim sosio-ekonomi.

“Pada masa yang sama, kami menggesa semua negara terlibat untuk memastikan usaha berterusan dalam mengekalkan sumber nasional serta ekosistemnya,” katanya sewaktu berucap di persidangan ASEAN-ROK (Republic of Korea) ke-24, pada Rabu.

Turut hadir dalam sesi tersebut selain Presiden Joko Widodo selaku Pengerusi ASEAN, ialah ketua-ketua negara ASEAN lain serta Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol.

Dalam pada itu Anwar berkata, usaha menangani perubahan cuaca memerlukan tindakan kolektif dan bersepadu semua pihak, dan Malaysia mengalu-alukan kerjasama yang akan dicapai melalui penubuhan ASEAN-ROK Cooperational Centre for Carbon Neutrality and Green Transition.

Untuk rekod, ASEAN antara yang paling terdedah dengan perubahan iklim, dengan lima daripada 20 negara paling berisiko tinggi terletak di rantau ini.

Menurut laporan ASEAN, kegagalan menangani perubahan iklim berisiko untuk menurunkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serantau sebanyak 11 peratus menjelang tahun 2100, dan mampu membuatkan 87 juta penduduk di kawasan berisiko banjir di Indonesia, Malaysia, Myanmar, Thailand dan Vietnam kehilangan tempat tinggal.

Sementara itu, ketika menyampaikan ucapan pencelahan di Persidangan Kemuncak ASEAN-Jepun ke-26, Anwar memberitahu Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida, Malaysia menghargai sokongan Jepun dalam penubuhan Centre for Digital Innovation and Sustainable Economy, di bawah Economic Research Institute for ASEAN and East Asia.

“Perubahan cuaca nyata mewujudkan ancaman kepada bukan sahaja kepada negara kita (ASEAN dan Jepun), tetapi juga kepada planet ini. Kita perlu melipatgandakan usaha untuk menanganinya dengan menyokong penggunaan tenaga boleh baharu (TBB).

“ASEAN boleh memanfaatkan kepakaran Jepun dalam membangunkan teknologi tenaga bersih, TBB, serta urus tadbir terbaik, termasuk melalu ASEAN-Japan Energy Efficiency Partnership dan ASEAN-Japan Climate Agenda 2.0,” katanya lagi.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com