SERDANG: Kadar subsidi harga padi dan sistem pengairan di kawasan sawah padi merupakan antara isu yang akan diberikan keutamaan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam Belanjawan 2024.
Menterinya Datuk Seri Mohamad Sabu berkata perkara itu merupakan antara input yang diperoleh melalui Sesi Dialog Belanjawan 2024 bagi sektor padi dan beras negara yang dihadiri lebih 100 pemain industri antaranya pengusaha tanaman padi, agensi kerajaan dan swasta, ahli akademik serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Mereka (yang hadir) minta perkara ini diteliti untuk bantu mereka usahakan tanaman padi dengan baik dan tingkatkan pengeluaran beras putih pada masa akan datang,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Sesi Dialog Belanjawan 2024 bagi sektor padi dan beras negara di sini semalam.
Mohamad berkata peserta dialog berkenaan turut meminta kerajaan memantau kemungkinan berlaku peningkatan harga baja dan racun susulan kenaikan kadar Skim Subsidi Harga Padi (SSHP) daripada RM360 per tan metrik kepada RM500 per tan metrik.
Kerajaan bersetuju menaikkan kadar SSHP berkuat kuasa 9 Ogos lepas, selepas kali terakhir dibuat kira-kira 25 tahun lalu yang bertujuan menggalakkan peningkatan produktiviti pengeluaran padi dalam kalangan pesawah.
Mohamad turut memberi jaminan bekalan beras putih tempatan adalah mencukupi sehingga Aidilfitri tahun depan susulan langkah intervensi kerajaan dengan melaksanakan Program Khas Beras Putih Tempatan bagi meningkatkan lebih 20 peratus kuota pengeluaran beras di pasaran.
Sementara itu mengenai dakwaan berlakunya kekurangan bekalan beras putih tempatan di pasaran, Ketua Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras Datuk Azman Mahmood berkata pihaknya telah mengenal pasti punca iaitu pengguna membuat pembelian dalam kuantiti yang banyak dalam satu masa.
“Sebab itu kerajaan tetapkan had maksimum 100 kilogram (kg) beras putih tempatan bermula hari ini bagi seorang pembeli, sehingga keadaan mereda,” katanya.
Memerik laporan media hari ini, kerajaan telah menetapkan had pembelian maksimum tersebut yang dibuat berdasarkan Peraturan 10(1)(b) Peraturan-Peraturan Kawalan Padi dan Beras (Pelesenan Pemborong dan Peruncit) 1996.
Mengenai satu video tular, Azman berkata KPKM tidak menerima sebarang aduan berkaitan kegiatan menukar bungkusan beras putih tempatan kepada kampit beras import seperti dakwaan dalam video tular baru-baru ini.
Pada Selasa, sebuah video berdurasi 28 saat telah tular di media sosial, memaparkan beberapa kampit beras yang sedang dibungkus semula di sebuah kilang, dan individu yang merakam video berkenaan mendakwa ia merupakan beras tempatan yang dibungkus semula untuk dijual sebagai beras import.