Friday, 10, May, 2024
Utama Ekonomi Malaysia berpotensi besar tarik pelabur

Malaysia berpotensi besar tarik pelabur

oleh admin

KUALA LUMPUR – Malaysia berpotensi besar untuk menarik lebih ramai pelabur sekiranya dapat memanfaatkan trend hab pembuatan yang semakin beralih ke Asia.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata kajian daripada Pertubuhan Pembangunan Perindustrian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIDO) mendapati bahawa pasca pandemik, terdapat penempatan semula bagi hab pembuatan dengan beralih ke Asia.

“Digandingkan dengan transformasi struktur China ke arah ekonomi berpendapatan tinggi yang dipacu pengetahuan, ini semua akan menyusun semula aliran perdagangan utama dan rantaian nilai global (GVC).

“Pelbagai perusahaan multinasional kini cuba memendekkan rantaian nilai mereka, dan mempelbagaikan sumber pengeluaran serantau, demi membina daya tahan rantaian bekalan,” katanya selepas majlis perasmian Sidang Kemuncak Halal Global (GHaS) 2023 di sini, hari ini.

GHaS dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata Malaysia mampu menjadi peneraju dalam pasaran halal antarabangsa dengan unjuran nilai eksport sebanyak RM63.1 bilion menjelang 2025, atau 8.1 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) seperti ditetapkan dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK12).

Beliau berkata, sasaran itu mampu dicapai berdasarkan perkembangan eksport halal negara yang melonjak sebanyak 64 peratus kepada RM59.46 bilion tahun lalu berbanding 2021.

Katanya, kategori produk makanan dan minuman (F&B) adalah penyumbang terbesar eksport halal dengan peningkatan hampir 58 peratus, diikuti dengan produk bahan-bahan halal, kosmetik dan penjagaan diri, derivatif minyak sawit, industri kimia serta farmaseutikal.

“Antara keutamaan MITI adalah menjadikan Malaysia sebagai hab halal global menerusi ekosistem perniagaan, perdagangan dan standard yang menjadi penanda aras dan rujukan kepada negara lain.

“Dengan pencapaian 2022, MITI optimis dapat capai sasaran ini. Malah MITI juga menyahut cabaran Perdana Menteri yang mahukan kita mencapai lebih daripada sasaran,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, nilai eksport halal pada 2022 adalah satu pencapaian walaupun berdepan cabaran ekonomi global.

“Pertumbuhan itu nyata mencerminkan daya tahan industri halal bagi menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.

Tengku Zafrul berkata, MITI akan terus memacu industri halal berdasarkan dua pelan utama iaitu Pelan Induk Industri Halal 2030 (HIMP 2030) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP 2030).

Beliau berkata, HIMP 2030 akan menggalakkan pertumbuhan industri yang berkualiti, inovatif dan berdaya saing.

Katanya, selain membangunkan syarikat tempatan yang kompetitif, HIMP 2030 juga bertujuan meningkatkan pembangunan modal insan; memantapkan standard, akreditasi dan perkhidmatan pensijilan; merapatkan jurang kebolehcapaian sokongan kewangan Islam; serta menjamin keselamatan dan integriti halal menerusi ekosistem logistik yang mantap.

“Dalam kata ringkas, ia memacu peningkatan sosioekonomi yang lebih mampan, seimbang dan menyeluruh.

NIMP 2030 pula akan menjadi pelengkap HIMP 2030.

“Melalui misi NIMP 2030, MITI akan berusaha meningkatkan penerapan teknologi dan prinsip kemampanan ESG bagi membina kepelbagaian ekonomi serta daya saing industri halal,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com