Tuesday, 30, April, 2024
Utama Nasional Isu kelemahan tata kelola perlu diberi perhatian, cari penyelesaian – KSN

Isu kelemahan tata kelola perlu diberi perhatian, cari penyelesaian – KSN

oleh Ammar Haziq

SEPANG: Isu kelemahan tata kelola yang melibatkan kepentingan negara dan menyebabkan ketirisan wang kerajaan perlu diberi perhatian serta dicari jalan penyelesaian, dan bukannya diselindungi atau ‘sweep under carpet’ , kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Beliau berkata isu kelemahan tata kelola berlaku disebabkan adanya ruang dan peluang untuk salah guna kuasa, rasuah, penyelewengan serta kelemahan pentadbiran; dan peluang itu boleh wujud apabila berlaku kelemahan di dalam kawalan dalaman serta perundangan.

Katanya sebagai contoh, kelewatan memberi perkhidmatan akibat karenah birokrasi, sedangkan pelanggan berkehendakkan perkhidmatan itu dengan segera, dan keadaan itu boleh mewujudkan peluang rasuah untuk mendapatkan perkhidmatan yang cepat.

“Sehubungan itu, sistem dan prosedur yang dikenal pasti tidak cekap dan membuka ruang peluang itu perlulah diubah dan ditambah baik,” katanya dalam ucapan pada Majlis Penutup Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan di sini semalam.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan) Jabatan Perkhidmatan Awam Datuk Azhar Ahmad.

Mohd Zuki berkata kerajaan amat serius dalam memastikan pelaksanaan agenda pembangunan negara bebas daripada sebarang unsur rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa.

“Pentadbiran kerajaan tanpa rasuah bermula daripada tata kelola yang baik dan integriti yang tinggi,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com