Wednesday, 4, December, 2024
Utama Nasional Lima agenda utama NRECC dibawa ke pembentangan belanjawan Madani Oktober depan

Lima agenda utama NRECC dibawa ke pembentangan belanjawan Madani Oktober depan

oleh admin

KUALA LUMPUR – Sebanyak lima lima agenda utama akan dibawa Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) pada pembentangan Belanjawan Madani kedua, 13 Oktober depan.

Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata lima fokus utama berkenaan berupaya membawa Malaysia ke arah masa depan yang lebih lestari.

“NRECC memberi tumpuan kepada lima agenda utama, iaitu peralihan tenaga, pembangunan rendah karbon, pemeliharaan dan pemuliharaan biodiversiti, perlindungan alam sekitar serta pembangunan mineral yang bertanggungjawab,” ujar sewaktu sesi Dialog Belanjawan Madani kedua dan Program Naratif Ekonomi Madani.

Dalam pada itu, Nik Nazmi menjelaskan, menerusi menerusi agenda Peralihan Tenaga, kapasiti terpasang Tenaga Boleh Baharu (TBB) akan dipertingkatkan sehingga 70 peratus pada tahun 2050.

“Dalam memastikan pencapaian sasaran ini, program-program TBB sedia ada akan diteruskan dan inisiatif baharu akan diterokai termasuk pengenalan sistem penstoran tenaga di peringkat penjanaan, penghantaran dan pengagihan, pengukuhan dan pemodenan sistem grid,” katanya.

Sementara itu, beliau menjelaskan agenda kecekapan tenaga akan diperkukuhkan melalui pembentangan Rang Undang-Undang Akta Kecekapan dan Konservasi Tenaga (EECA) pada Oktober ini bagi membolehkan negara mengawal selia kecekapan dan pemuliharaan tenaga.

Ujarnya, langkah itu juga bertujuan mengurangkan pembaziran dengan memperkasakan pengguna dalam mengurus penggunaan tenaga.

Pada masa sama, Nik Nazmi berkata, kerajaan akan menyediakan banyak pilihan tenaga alternatif bagi membolehkan kos penggunaan tenaga dapat dijimatkan.

Tambahnya, kerajaan sentiasa peka dan memahami isu kenaikan kos elektrik yang dihadapi pemain industri.

“Sebab itu kita ada banyak beri alternatif selepas ini, mereka boleh buat Penggunaan Sendiri bagi Pemasangan PV Solar (SelCo), langkah penjimatan tenaga dan sebagainya. Jadi itu antara perkara yang dilakukan dan kita juga berasakan bila lebih banyak tenaga peralihan baru ia juga antara perkara yang boleh mengekang (isu kenaikan kos tenaga),
“Sebab sekarang arang batu bergantung kepada bahan import, gas pula banyak turun naiknya.

Jadi kita lihat tenaga boleh baharu (TBB) ia bukan saja menghasilkan kelestarian, tetapi juga soal mampu milik dan sekuriti,” jelasnya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com