Saturday, 4, May, 2024
Utama Ekonomi Cabaran urus nadir bumi, lihat pengalaman lampau negara

Cabaran urus nadir bumi, lihat pengalaman lampau negara

oleh admin

KUALA LUMPUR – Kerajaan prihatin dengan kebimbangan sesetengah pihak tentang kemungkinan pencemaran yang terhasil dari industri nadir bumi negara biarpun mampu mencecah hingga trillion (RM) dalam tempoh satu ada dua dekad seterusnya.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, ada pihak mengatakan bahawa tumpuan berlebihan terhadap industri itu mungkin akan merencat agenda kerajaan dalam memastikan persekitaran yang lebih mampan, termasuk komitmen sifar bersih pelepasan karbon (NZCE).

Namun beliau berkata, perkara yang sama pernah dialami negara sewaktu mula meneroka sektor minyak dan gas, dan kredit harus diberikan kepada kepimpinan dahulu sekitar 40 – 50 tahun lepas, dalam membangunkan industri itu dan mengekalkan kelestarian negara.

“Sebenarnya kita telah melalui persimpangan yang sama sekitar 40, 50 tahun lepas, ketika kita mula meneroka pembangunan minyak dan gas yang ketika itu agak asing bagi kita. Ia memerlukan teknologi yang canggih serta modal yang intensif.

“Betapa berkualitinya kepimpinan awal negara kita, mereka mampu menstruktur pembangunan minyak dan gas negara melalui cara yang mampu mengimbangi kesemua cabaran. Kita harap dapat mencontohi dan lakukan perkara sama.

Cabarannya ialah ketika ini semua berlaku dengan pantas dan pada masa yang sama,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian sewaktu mengulas mengenai hala tuju pembangunan nadir bumi yang disentuh Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia Ke-12, dalam rancangan BFM – Breakfast Grille pada semalam.

Rafizi berkata, tumpuan diberikan kepada nadir bumi kerana ia juga berkait rapat dengan pertumbuhan dan nilai tinggi (high-growth high value), seperti visi negara untuk menerajui industri kereta elektrik; perubahan tenaga; dan elektrik dan eletronik.

Menyentuh mengenai aspek bidang kuasa tanah, Rafizi berkata, negeri-negeri hanya melaksanakan perundangan mengenai akses dan lesen penerokaan, manakala aspek lain seperti eksport, permit dan sebagainya terletak pada Kerajaan Persekutuan.

“Jika dibiarkan (tanpa pengawasan), akan berlaku kecurian, penerokaan yang tidak bertanggungjawab, dan hasil nadir bumi negara akan diseludup keluar. Sebab itu kita perlu bertindak pantas dan meletakkan semua pihak bersama-sama,” katanya lagi.

Rafizi berkata, hasil nadir bumi negara antara yang mempunyai simpanan terbanyak di dunia, dan kerajaan banyak menerima tawaran bernilai tinggi dari pelabur seluruh negara.

Namun, beliau lebih cenderung untuk melihat pelan 30 hingga 40 tahun akan datang, khususnya dalam memastikan nilai nadir bumi disimpan sebanyak mungkin dalam negara ini, jelasnya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com