Wednesday, 4, December, 2024
Utama Sukan SIC perkenal tiket Rahmah RM49.90 saksikan GP Malaysia 2023

SIC perkenal tiket Rahmah RM49.90 saksikan GP Malaysia 2023

oleh admin

KUALA LUMPUR – Litar Antarabangsa Sepang (SIC) mengambil inisiatif memperkenalkan harga tiket ‘rahmah’ bernilai RM49.90 yang mula dijual pada pukul 4 petang hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif, berkata sebanyak 7,000 tiket di K2 Hillstand mula dijual kepada semua rakyat Malaysia secara dalam talian dan kaunter jualan tiket bagi menyaksikan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) di Grand Prix (GP) Malaysia 2023, November ini.

“Selain harga tiket istimewa, parkir percuma dan menu Rahmah untuk FB (food and beverages) turut akan diperkenalkan. Ini pertama kali kami perkenalkan inisiatif seumpama ini.

“Jadi kami menjangkakan 170,000 penonton berbanding 164,000 penonton yang hadir pada tahun lepas dan sekarang kita berada di landasan yang betul untuk sold out kerana sudah hampir 70 peratus tiket dijual bermula tahun lepas,” katanya pada sidang media, di sini.

Hadir sama Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

MotoGP GP Malaysia 2023 akan berlangsung pada 10 hingga 12 Nov ini.

Dalam pada itu, Azhan berkata setakat ini, tiada pelumba tempatan akan beraksi atas tiket wild card pada perlumbaan GP Malaysia 2023.

Beliau, bagaimanapun, berkata keputusan itu boleh berubah sekiranya ada pihak mahu menawarkan diri untuk memberi penajaan dan keputusan itu hanya akan diketahui 45 hari sebelum perlumbaan itu berlangsung.

“Untuk tahun ini, kita tak ada rancangan lagi untuk meletakkan pelumba negara atas tiket wild card . Tahun lalu, dua pelumba Petronas bersaing atas tiket wild card dalam kategori Moto2.

“Kalau ada penaja wild card seperti Petronas, saya tidak menolak kemungkinan,” katanya.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com