KUALA LUMPUR – ketua jurulatih bolasepak Bawah 23 tahun kebangsaan, E. Elavarasan secara rasminya melepaskan jawatan untuk kembali fokus kepada tugasan asalnya sebagai penolong ketua jurulatih kebangsaan.
Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Hj Rahman berkata, Dalam perbincangan dari hati ke hati bersama Presiden FAM, Datuk Haji Hamidin dan Elavarasan telah mencapai kata sepakat dan persetujuan beliau kembali fokus kepada tanggungjawabnya membantu Kim Pan Gon dalam skuad senior.
Menurutnya, kekosongan ditinggalkan oleh Elavarasan sekali gus memberi ruang kepada individu lain untuk menggalas tugas selaku ketua jurulatih B-23 kebangsaan ke Piala Asia B-23 2024 di Qatar, April depan.
“Pengganti Elavarasan sebagai ketua jurulatih B-23 kebangsaan bagi menghadapi Piala Asia B-23 2024 di Qatar pada April depan hanya akan diumum selepas beberapa penelitian dan perbincangan dengan pihak-pihak yang terlibat serta kata putus yang akan dicapai nanti,” katanya.
Elavarasan pada 1 September 2022 telah diumum sebagai ketua jurulatih B-23 kebangsaan yang baharu menggantikan Brad Maloney dan pada masa yang sama masih memegang jawatan sebagai pembantu kepada ketua jurulatih kebangsaan, Kim Pan Gon dalam skuad senior negara.
FAM pada ketika itu membuat keputusan melantik Elavarasan bagi mengemudi skuad B-23 kebangsaan kerana beliau berada dalam sistem kejurulatihan Pan Gon, sekali gus memudahkan proses kesinambungan untuk skuad senior dan skuad B-23 negara itu.
Setahun di bawah kendalian Elavarasan, skuad B-23 kebangsaan berjaya menjuarai Piala Merlion 2023 di Singapura pada Mac lalu dan biarpun gagal di Sukan SEA 2023 di Kemboja pada Mei, mereka berjaya layak ke separuh akhir Kejuaraan B-23 AFF 2023 di Rayong, Thailand pada Ogos dan layak ke Piala Asia B-23 2024 selepas melepasi pusingan kelayakan di Chonburi, Thailand baru-baru ini.
Hamidin turut mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih atas sumbangan Elavarasan kerana tetap berjaya membawa pasukan layak ke Piala Asia B-23 2024, biarpun tewas 1-0 kepada Thailand pada aksi terakhir kelayakan, 12 September lalu.