SUNGAI PETANI – Bomba dan penyelamat menemui tiga beranak yang rentung dalam kebakaran membabitkan lapan unit rumah kedai dua tingkat di Jalan Sungai Emas, Kota Kuala Muda pada awal pagi Isnin.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Awang Hidzel Awang Bujang berkata, panggilan kecemasan berhubung kebakaran itu diterima pada jam 1.12 pagi.
Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tikam Batu, Sungai Petani dan Kuala Muda, Pulau Pinang tiba mendapati api dan dimaklumkan terdapat tiga mangsa terperangkap di dalam rumah.
Mayat pertama ditemukan di hadapan bahagian ruang tamu jam 3.19 pagi sementara mayat kedua ditemui tertindan di bawah jeriji besi pintu hadapan jam 6 pagi.
Manakala mayat ketiga ditemui enam meter daripada mayat kedua di bahagian bawah tangga pada jam 10.15 pagi.
Katanya, bomba mengalami kesukaran untuk pemadaman dan mencari mangsa yang rentung dan ketiga-tiga mangsa dikenalpasti, pasangan suami isteri Lim Yang Kooi, 66, Lee Chew Fong, 61, dan ibu mereka Yong Swee Lan, 93.
Mayat ketiga-tiga mangsa diserahkan kepada polis sebelum dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk bedah siasat.
Awang Hidzel berkata, kebakaran itu memusnahkan 85 peratus kelapan-lapan rumah itu dan berjaya dipadam sepenuhnya jam 12 tengah hari dan punca serta nilai kerugian masih dalam siasatan.