Tuesday, 21, May, 2024
Utama Mahkamah & Jenayah Polis kenal pasti 25 individu terlibat Himpunan Selamatkan Malaysia

Polis kenal pasti 25 individu terlibat Himpunan Selamatkan Malaysia

oleh Ammar Haziq

ALOR SETAR – Polis mengenal pasti 25 individu termasuk seorang Ahli Parlimen yang terlibat Himpunan Selamatkan Malaysia yang diadakan di Ibu negara pada Sabtu dan 22 daripada jumlah tersebut telah dihubungi pada pagi Ahad.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, seramai lima individu akan tampil memberikan keterangan di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur pada Isnin manakala seorang pada Selasa.

Menurutnya, baki daripada jumlah tersebut pula akan dipanggil oleh polis secara berperingkat bagi membantu melengkapkan siasatan tersebut.

“Banyak pihak juga turut menyatakan ketidak puasan mereka dengan tindakan polis kononnya di bawah Akta Perhimpunan Aman ini mereka boleh membuat perhimpunan.

“Sepertimana yang sudah dijelaskan lebih awal oleh saya sendiri dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain sudah jelas, memang tak perlu permit tapi mereka perlu menghantar notis.

“Dalam notis itu, ada lebih 14 perkara yang perlu dipatuhi, contohnya perlu meminta kebenaran terhadap pemilik kawasan terbabit, di mana akan diadakan perhimpunan itu, tapi bila tidak dinyatakan dengan jelas, menyukarkan pihak polis untuk membuat kawalan,” katanya pada sidang akhbar pada Ahad.

Beliau berkata demikian selepas Majlis istiadat penganugerahan pingat jasa Palawan negara Kontinjen Kedah Siri Satu 2023 kepada 208 penerima yang terdiri daripada pesara polis, penerima waris pesara polis dan mereka yang masih berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah,dekat sini.

Terdahulu Astro Awani melaporkan polis membuka kertas siasatan berhubung Himpunan Selamatkan Malaysia yang berarak lebih dua kilometer dari Kampung Baru ke pusat beli belah Sogo, di ibu negara pada Sabtu.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata, setakat ini pihaknya sudah mengenal pasti 25 individu yang terlibat dalam perhimpunan itu.

Ayob Khan berkata, ada pihak menyatakan perhimpunan boleh diadakan di bawah artikel 10 Perlembagaan Persekutuan, namun perkara itu juga perlu dilihat kepada artikel 10 (2) yang mana setiap kebebasan untuk berhimpun perlu ada batas untuk dipatuhi.

“Kita perlu mengimbangi antara hak asasi dengan keselamatan dan ketenteraman awam, itu kena jelas sebab polis tidak akan bertolak ansur.

“Jangan jadikan itu alasan untuk melanggar undang-undang. Undang-undang dibuat untuk dipatuhi.

“Undang-undang ini digubal dalam parlimen oleh yang berhormat (Ahli Parlimen). Kalau Yang Berhormat tidak menunjukkan contoh baik kepada masyarakat, bagaimana masyarakat nak mematuhi undang-undang,” ujar beliau lagi.

Tambahnya, polis akan memanggil mereka yang terbabit secara berperingkat dan jika ada kesalahan yang boleh diambil tindakan di bawah Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman iaitu tidak ada pemberitahuan perhimpunan, Seksyen 4(2)(b) mengadakan perhimpunan larangan di masjid dan Seksyen 4(2) (e) membawa kanak-kanak bagi menyertai perhimpunan.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com