Friday, 22, November, 2024
Utama Negeri Yayasan Axiata taja tiga pelajar B40 UUM ke Perancis

Yayasan Axiata taja tiga pelajar B40 UUM ke Perancis

oleh Ammar Haziq

SINTOK – Yayasan Axiata bersetuju menaja tempat kepada tiga orang pelajar dalam kalangan B40 yang cemerlang untuk program dwi-ijazah Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Montpelllier Business School di Perancis.

Dwi-ijazah berkenaan ialah Bachelor of International Business Management (UUM) dan Bachelor of International Business Administration di Montpellier Business School, France) pada tahun 2024 selama setahun bagi pelajar semester lima dan enam.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Axiata, Mohamad Kamal berkata, pihaknya sangat gembira kerana dapat bersama-sama dengan UUM untuk melahirkan pelajar kumpulan B40 tetapi berperwatakan global.

“Kita akan menaja pelajar berkenaan untuk membolehkan mereka mendapat pengalaman belajar di Perancis dengan memiliki dua ijazah serentak, sekali gus membolehkan pelajar berkenaan lebih mudah diterima di industri.

“Yayasan Axiata memang bertujuan untuk memperkarakan pendidikan anak-anak bangsa supaya berjaya dan akhirnya mereka akan membantu pula negara,” katanya dalam majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Yayasan itu dengan UUM di Balai Tamu, Bangunan Canselori Sultan Sallehuddin petang tadi

MoU itu ditandatangani oleh Mohamad Kamal mewakili Yayasan, manakala UUM diwakili Naib Canselonya, Prof Dr Mohd Foad Sakdan.

Antara lain MoU itu bagi menjalinkan usaha sama dan kolaborasi dalam bidang akademik, penyelidikan, perkongsian kepakaran dan pembangunan bakat.

Sementara itu, Dr Mohd Foad berkata, kerjasama adalah selaras dengan aspirasi universiti untuk menggerak dan mengaktifkan lagi jalinan kerjasama dengan pelbagai pihak di peringkat nasional dan antarabangsa.

“Dalam konteks ini, universiti amat berbangga mempunyai hubungan kerjasama yang akrab dan strategik dengan pihak Axiata yang merupakan sebuah syarikat gergasi telekomunikasi di dunia ini,” ujar beliau lagi.

Menurutnya, hubungan kerjasama yang akrab dan strategik dengan pihak Axiata ini akan memberi nilai tambah untuk UUM bagi mendepani cabaran dan perubahan mendadak dunia teknologi yang berkembang dan melebar luas sekarang ini.

Turut hadir ialah Ketua, Axiata Young Talent Programme & Axiata Graduate Programme; Rohaiza Ahmad, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (TNC HEPA) Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed dan Dekan Pusat Pengajian Antarabangsa Prof. Madya Dr. Nazariah Osman.

Artikel Berkaitan

© Copyright 2023 | kedahgazette.com